Category Archive
The following is a list of all entries from the utusan malaysia online category.
Sang juara yang tewas
ACARA Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) yang berlangsung kelmarin menyaksikan persaingan hebat antara muka lama dan baru.
Menariknya juga, empat bekas pemenang Juara Lagu sebelum ini turut bersaing bagi merebut anugerah yang dipertandingkan iaitu Ramlah Ram yang pernah menjuarai AJL pada tahun 1988, Aishah (1990 dan 1995), Datuk Siti Nurhaliza (1996, 1998 dan 2000) dan Misha Omar (2003).
Namun begitu, mungkin sudah tertulis bahawa bukan menjadi rezeki mereka pada malam AJL22 apabila keempat-empat sang juara ini tewas dan gagal membawa sebarang anugerah pada malam itu.
Kegagalan pada malam itu bukanlah bermakna mereka tidak bagus cuma nasib tidak berpihak kepada senior-senior itu.
RAMLAH RAM (Dirgahayu)
Penyertaan penyanyi kelahiran Muar, Johor ini pada AJL22 dilihat sebagai lambang kebangkitannya di persada seni tanah air.
Meskipun usianya sudah melewati angka 40, namun, vokal Ramlah Ram tidak perlu dipertikaikan lagi saat melantunkan lagu Dirgahayu.
Masih lagi mantap dan memukau, ternyata pesona Ramlah masih unggul dan mempunyai aura tersendiri.
AISHAH (Kasihnya Balqis)
PEMILIK nama sebenar Wan Aishah Wan Arifin ini sememangnya antara penghibur yang cukup kreatif dan sering menampilkan kelainan dalam setiap persembahannya.
Aishah sering mempamerkan persembahan menarik selari dengan intipati lagu yang disampaikannya.
Untuk lagu Kasihnya Balqis, Aishah begitu bijak mencorakkan persembahannya dengan menampilkan konsep penceritaan.
Malah, dia turut menampilkan dua orang cahaya matanya sebagai pelakon dan penyeri pentas.
Vokal bekas penyanyi utama kumpulan The Fan Club ini tiada apa yang perlu dipertikaikan lagi.
Kemantapan dan kehebatan vokalnya membuktikan Aishah masih tiada tandingan dan hanya satu sahaja pemilik vokal sepertinya di negara ini.
Meskipun pernah dua kali bergelar juara, namun, kekalahan Aishah kali ini bukanlah bermakna dia tidak dihargai lagi tetapi mungkin lagu Kasihnya Balqis tidak begitu kuat untuk merangkul sebarang kejuaraan. Pokoknya, Aishah sudah menjadi legenda seni tanah air.
SITI NURHALIZA (Destinasi Cinta)
Penampilan penyanyi nombor satu negara ini paling dinantikan. Masakan tidak, selepas mengambil keputusan untuk merehatkan diri daripada bertanding di pentas AJL selepas tahun 2003, Siti Nurhaliza tampil dengan imej baru dalam mempersembahkan lagu Destinasi Cinta.
Lagu itu juga buat pertama kalinya, Siti mencaturkan diri dalam menyampaikan lagu berlandaskan muzik rock yang disulami dengan irama pop yang dilihat begitu kena dengan dirinya.
Saat melangkah kemas di pentas, sorakan dan pekikan penonton sudah tidak mampu dikawal lagi. Siti membuktikan bahawa auranya masih lagi ada meskipun status dirinya kini sudah berubah.
Ramai yang terkejut dengan persembahan berani dan tidak keterlaluan jika dikatakan, Siti kini semakin bijak memberikan persembahan yang matang selain semakin yakin dengan persembahannya.
Malah, Siti turut membuktikan bahawa dengan imej bertudungnya itu dia masih lagi mampu menari dan memberikan persembahan yang cukup menarik perhatian penonton.
Ramai yang meramalkan dia mampu membawa pulang anugerah Persembahan Terbaik ataupun Vokal Terbaik tetapi apakan daya, rezeki tidak memihak kepada dirinya.
Setidak-tidaknya dia membuktikan kehadirannya di pentas AJL masih lagi diterima dan semangatnya dalam memberikan persembahan yang berbeza wajar dipuji.
MISHA OMAR dan ANDY (Sembunyi)
Pertama kali muncul menyampaikan lagu duetnya bersama penyanyi utama kumpulan Flop Poppy, Andy lagu Sembunyi juga dilihat sebagai calon utama untuk mengungguli kategori Pop Rock.
Misha Omar yang sebelum ini pernah memenangi Vokal Terbaik sebanyak dua tahun berturut-turut dilihat berjaya menyampaikan lagu Sembunyi dengan begitu baik sekali.
Ditambah dengan suara serak basah Andy menjadikan lagu Sembunyi merupakan antara gandingan duet terbaik setakat ini. Mungkin juri mahu mengambil pendekatan berbeza dalam pertandingan kali ini dalam memilih pemenangnya menjadikan Sembunyi gagal membawa sebarang anugerah.
sumber: utusan malaysia online
Persaingan sengit – Vokal Terbaik AJL22
![]() |
|
MISHA dan Andy. |
ANUGERAH Juara Lagu 22 (AJL22) sudah sampai ke destinasinya apabila acara anugerah muzik yang berprestij itu akan menemui peminat hiburan tanah air Ahad ini (27 Januari) bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Berbeza tahun sebelumnya, kali ini menyaksikan 14 buah lagu terbaik akan bertanding bagi merebut anugerah yang dipertandingkan.
Ketika ini, pastinya ramai yang sudah mula memperkatakan dan membuat ramalan lagu manakah yang bakal menjulang trofi Juara Lagu.
Seperti yang semua sedia maklum, AJL kali ini menyaksikan saingan yang begitu hebat dan sengit sekali.
Bukan itu sahaja, nama-nama besar yang begitu sinonim dengan pertandingan itu juga turut beraksi kali ini bersama muka-muka baru yang kian mendapat perhatian peminat muzik tanah air.
Selain daripada mempertaruhkan kategori utama iaitu Juara Lagu dan juara bagi setiap kategori iaitu Balada, Etnik Kreatif dan Pop Rock, tahun ini memperlihatkan nama-nama hebat bakal bersaing hebat bagi kategori Vokal Terbaik.
Ini kerana bukan calang-calang artis yang bertanding dalam AJL22 dan kesemuanya mempunyai kehebatan dan kemantapan vokal yang tersendiri.
Nama-nama seperti Aishah, Ramlah Ram, Nora dan Datuk Siti Nurhaliza dilihat sebagai calon favourite untuk memenangi kategori Vokal Terbaik.
Aishah misalannya, yang memang terkenal dengan vokal hebatnya itu mampu menjulang trofi Vokal Terbaik berdasarkan lagu Kasihnya Balqis yang begitu mencabar vokalnya.
Begitu juga dengan Ramlah Ram dan Nora yang juga mempunyai keistimewaan masing-masing dalam menyampaikan lagu Dirgahayu dan Samudera.
Siapa tahu, rezeki mungkin akan memihak kepada salah seorang daripada mereka. Semuanya bergantung kepada persembahan mereka pada malam berkenaan.
Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza juga tidak harus di pandang enteng dengan kebolehannya menyampaikan lagu Destinasi Cinta.
Mungkin ada pihak yang menyangkakan lagu dalam kategori Pop Rock mungkin agak sukar untuk memperlihatkan kehebatan vokal namun, siapa tahu rezekinya pada malam itu nanti setelah dua kali tewas di tangan Liza Hanim dan Misha Omar.
Atau mungkin juga Vokal Terbaik akan menjadi milik penyanyi lelaki seperti mana Hazami membuat kejutan apabila memenanginya pada tahun 2006 menerusi lagu Kata.
Mungkinkah Fazli Zainal bakal membawa pulang gelaran berkenaan memandangkan lagu Harapan adalah lagu yang sukar dinyanyikan kerana lagunya yang bernada tinggi dan mencabar vokalnya.
Namun begitu, apa pula reaksi anda andai kata Raja SMS, Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan dan Sedar akan menjulangnya kelak?
Pasangan duet juga tidak harus dipandang sebelah mata memandangkan menyanyikan lagu duet memerlukan keserasian.
AJL22 menyaksikan paduan suara Jaclyn Victor dan Lah Ahmad yang berpadu suara menerusi lagu Ceritera Cinta dan lagu Sembunyi gandingan Misha Omar dan Andy.
Apa apa pun keputusannya nanti, terima sahaja dengan hati dan minda terbuka kerana AJL sentiasa penuh dengan kejutan.
Apa yang penting, kita harus rasa bangga kerana dengan adanya AJL, lagu dan karya anak tempatan masih lagi ada tempat untuk bernafas dan memperlihatkan kehebatan lagu-lagu tempatan.
Senarai Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu
*2003 – Liza Hanim (Gelisah Mimpi)
*2004 – Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta)
*2005 – Misha Omar (Pulangkan)
*2006 – Hazami (Kata)
*2007 – Adibah Noor (Terlalu Istimewa)
sumber: utusan malaysia online
Siti Nurhaliza bakal lahir album Inggeris
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SELAMA hampir 12 tahun menjadi anak seni, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mungkin telah mengecapi kejayaan yang diidamkannya.
Malah, dia juga pernah berkata, adalah menjadi satu kelengkapan dalam perjalanan seninya jika dia melahirkan sebuah album Inggeris bagi peminat setianya yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepadanya.
Kepada peminat setia Siti Nurhaliza, ini merupakan satu berita baik buat anda kerana kini, penyanyi jelita itu sedang merangka perancangan untuk melahirkan sebuah album Inggeris yang bakal mendapat sentuhan komposer tempatan dan juga luar negara.
Ini diakui sendiri oleh suami tercintanya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mahu melihat isterinya itu mengorak setapak lagi langkah dalam kariernya untuk menembusi peringkat antarabangsa.
“Kami masih dalam perancangan untuk menerbitkan album Inggeris pertama Siti. Saya juga sedang cuba menghubungi beberapa pihak yang boleh merealisasikan impian Siti ini. Kami juga tidak mahu terlalu terburu-buru namun saya akan usahakan demi yang terbaik untuk Siti,” jelas Khalid.
Khalid dan Siti Nurhaliza ditemui pada majlis sambutan hari lahir ke-29 penyanyi itu yang diadakan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, malam Khamis lalu.
Tambahnya, dengan lahirnya album itu kelak, setidak-tidaknya ia mampu untuk membawa Siti ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Bagi diri Siti sendiri, dia juga begitu teruja dengan perancangan album tersebut kerana selain mahu melengkapkan portfolio seninya, ia juga sebagai memenuhi permintaan peminatnya yang sering bertanyakan kelahiran album Inggerisnya.
“Sudah pasti, sebelum merakamkan album itu, saya akan membuat persediaan rapi terlebih dahulu dan meminta bantuan dari mereka yang arif untuk memastikan album ini berjalan dengan lancar,” jelas penyanyi yang kini semakin popular dengan lagu Melawan Kesepian itu.
Penghijrahan Siti
Ramai yang sudah mengetahui perubahan yang berlaku ke atas penyanyi nombor satu negara itu sebaik sahaja pulang dari menunaikan haji pada 27 Disember lalu.
Sudah pun namanya Siti Nurhaliza, pasti dirinya tidak terlepas dengan kritikan dan kata-kata yang tidak menyenangkan tentang penampilan terbarunya itu.
“Saya tahu mungkin ramai yang mahu saya menunaikan janji saya dahulu iaitu akan bertudung selepas berkahwin. Saya masih pegang pada janji. Namun, setelah saya berkahwin, barulah saya sedar bukan mudah untuk melakukan sesuatu perkara itu secara mendadak.
“Biarlah saya berhijrah secara perlahan-lahan dengan bermula imej sebegini. Lagipun, suami saya memberikan sokongan padu buat saya. Lebih baik saya dengan cara begini dahulu daripada memakai tudung atas desakan orang tanpa lahir keikhlasan daripada hati. Satu hari nanti, saya akan tetap bertudung,” jelasnya yang semakin berseri dan jelita.
Saat diajukan soalan kepada suaminya, Khalid hanya memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penampilan terbaru isterinya itu.
“Saya juga menerima maklum balas dari rakan-rakan saya sendiri. Ada yang setuju dan ada juga yang mengatakan Siti masih muda untuk berpakaian demikian. Saya tidak kisah asalkan niat dan keikhlasan hatinya. Itu yang paling penting,” katanya sambil memandang isteri tercintanya.
Reda dengan keputusan AJL
Penyanyi yang baru sahaja melahirkan album solonya yang ke-12, Hadiah Daripada Hati itu kini giat menjalani latihan dan memikirkan corak persembahan untuk lagu Destinasi Cinta yang akan dipersembahkannya pada malam Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) pada 27 Januari nanti.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk malam itu nanti. Segala keputusan yang akan diumumkan pada malam itu nanti, saya terima dengan reda kerana percaya dengan rezeki Allah. Saya tidak kisah seandainya saya pulang dengan tangan kosong kelak,” katanya.
Untuk kategori Pop Rock, Destinasi Cinta akan bersaing hebat dengan lima buah lagu lain iaitu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dendangan Jinbara, Itu Kamu (Estranged), Janjiku (Sofaz), Angan dan Sedar (Mawi) serta Sembunyi (Misha Omar dan Andy).
Siti turut menjelaskan, Destinasi Cinta mempunyai keunikan tersendiri dan ia juga merupakan antara lagu berentak rancak kegemarannya sepanjang menjadi anak seni.
“Bagi saya, meskipun Destinasi Cinta adalah catchy tetapi ia bukanlah lagu yang mudah dibawa. Ia begitu mencabar vokal saya kerana lagu tersebut mempunyai momentum dari nada rendah sehingga ke tahap tinggi,” ujarnya.
sumber: utusan malaysia online
Siti mungkin sertai politik
PORT DICKSON 17 Jan. – Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin tidak menolak kemungkinan menyertai arena politik kerana minat yang mendalam untuk berbakti kepada masyarakat, khususnya dalam kerja amal.
Malahan katanya, sokongan padu juga akan diberikan kepada pucuk pimpinan negara dalam menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.
‘‘Insya-Allah suatu hari nanti, siapa tahu. Tetapi buat masa ini, Siti mahu terlibat aktif dengan aktiviti masyarakat melalui Yayasan Nur Jiwa. Biarlah Siti tumpukan dahulu kepada bidang seni untuk waktu ini,” katanya.
Siti Nurhaliza berkata demikian kepada pemberita pada majlis Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hakcipta Malaysia (MACP) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) di sini, hari ini.
Menurut Siti, beliau akan sentiasa melibatkan diri dalam kerja amal serta membantu masyarakat kerana aspek-aspek itu penting sebelum menceburkan diri dalam bidang politik.
‘‘Kalau boleh Siti memang selalu hendak berbakti dengan masyarakat tetapi tidak semestinya dalam bidang politik. Banyak cara boleh dilakukan termasuk yayasan yang Siti asaskan itu,” kata Siti Nurhaliza yang ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Mengenai pilihan raya umum akan datang, Siti Nurhaliza berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia juga akan melaksanakan tugasnya untuk mengundi.
‘‘Kita sebagai rakyat Malaysia perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kita mahu hidup dengan aman. Kalau kita mahukan yang terbaik, kita harus memilih yang terbaik,” katanya.
Pada majlis tersebut, Siti Nurhaliza menerima cakera padat Cipta Ekspres daripada Pengerusi MACP, Habsah Hassan yang mengandungi 13 lagu terbaru ciptaan komposer terkenal antaranya M. Nasir, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, S. Atan dan Johan Nawawi.
sumber: utusan malaysia online
Siti sambut hari lahir dengan imej bertudung
Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KHALID Mohamad Jiwa menyuap kek kepada isterinya, Siti Nurhaliza pada majlis sambutan ulang tahun hari lahir Siti di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar SYEFRY MONIZ .
KUALA LUMPUR 11 Jan. – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menyambut hari lahirnya yang ke-29 hari ini berharap dapat mengecapi kebahagiaan yang berpanjangan bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
“Saya juga berharap karier saya akan terus cemerlang selain dapat melihat beberapa perancangan yang telah diatur menjadi kenyataan. Sudah pasti saya juga mengharapkan dikurniakan cahaya mata agar menjadi pelengkap kepada keluarga saya dan suami,” kata penyanyi jelita itu.
Siti Nurhaliza yang kini bergaya dengan imej bertudung berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan dalam suasana meriah di sebuah hotel terkemuka di ibu kota di sini malam tadi.
Penyanyi yang popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu juga mengharapkan agar orang ramai tidak mendesak dan memberi tekanan kepadanya hanya kerana dia tampil dengan imej yang bukan seperti dijanjikannya sewaktu selepas berkahwin dahulu.
“Buat masa ini, saya selesa dengan penampilan sekarang. Perubahan yang saya lakukan ini adalah lebih elok jika dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik.
“Saya tidak mahu isu bertudung menjadi isu besar. Satu hari nanti saya akan bertudung juga. Biarlah ia datang dari hati yang ikhlas dan bukan secara paksaan. Berilah saya masa,” jelasnya.
Siti Nurhaliza pernah berjanji akan mengenakan tudung sebaik sahaja menjadi isteri kepada Khalid, 49, pada 21 Ogos 2006.
Penyanyi yang baru sahaja muncul dengan album terbarunya, Hadiah Daripada Hati, itu turut memberitahu, penghijrahan dirinya dari segi penampilan bukan satu penghalang untuk dia terus menjadi anak seni.
“Alhamdulillah, rezeki saya untuk persembahan semakin murah dan saya percaya setiap rezeki itu datang daripada Allah,” katanya yang semakin berseri dan jelita selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 27 Disember lalu.
Sambutan majlis hari lahir Siti Nurhaliza itu turut dihadiri sahabat-handai, ahli keluarga serta artis dan selebriti tempatan, antaranya Syafinaz Selamat, Chef Wan, Sharifah Amani, Que Haidar, Fazli Zainal, Sean Ghazi, Habsah Hassan serta penyanyi Indonesia, Rossa.
Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza memberitahu, dia akan bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-22 anjuran TV3 pada 27 Januari ini. Lagunya, Destinasi Cinta, terpilih sebagai lagu yang akan bersaing dalam kategori pop rock pertandingan itu.
sumber: utusan malaysia online
Kehangatan menuju Juara Lagu 22
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
Semi final Muzik Muzik yang berlangsung sejak 11 November lalu sampai kemuncaknya apabila pada malam ini keputusan pemenang bagi katogeri Pop Rock akan diketahui umum.
Sebanyak lima pemenang akan dipilih berdasarkan kepada kekuatan lagu dan lirik yang dihasilkan oleh penciptanya menjadikan 13 buah lagu layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 22 (AJL-22) pada Januari depan. Lagu-lagu ini masing-masing lima buah bagi katogeri balada dan rop rock dan tiga lagu bagi etnik kreatif.
Pemenang semi final katogeri etnik kreatif disandang oleh pencipta Johan Nawawi dan penulis lirik Ahmad Fedtri menerusi lagu Samudera yang dinyanyian oleh Nora, Adnan Abu Hassan dan penulis lirik Moharis Yaakup menerusi lagu Kasihnya Balqis nyanyian Aishah serta Eddie Hamid dan penulis lirik Khairul Anuar Harun menerusi lagu Dirgahayu nyanyian Ramlah Ram.
Lima lagu kategori balada yang diadakan pada malam Ahad lalu memperlihatkan lima lagu terpilih iaitu Ceritera Cinta (Ross Ariffin/Habsah Hassan) nyanyian Jaclyn Victor dan Lah Ahmad, Izinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak) nyanyian Sahri dan Harapan (lagu dan lirik Hazami) nyanyian Fazli Zainal.
Sementara penyanyi Faizal Tahir menyanyikan dua lagu iaitu Kasih Tercipta (Ajai/Suhaimi Baba) dan Maha Karya Cinta (Audi Mok/Shah Shamshiri).
Keputusan kategori balada dikatakan agak mengejutkan kerana lagu Bisakah ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tessh R.S nyanyian Siti Nurhaliza dikatakan kurang impak berbanding lagu-lagunya sebelum ini.
Sebanyak sepuluh lagu bagi katogeri pop rock malam ini akan bertarung dalam satu persembahan sengit untuk terpilih dalam AJL-22 nanti.
Antara lagu yang diramalkan akan terpilih daripada sepuluh buah lagu yang bertanding iaitu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) nyanyian Jin Bara, Satu Harapan (Jaclyn Vistor), 3 Malam Tanpa Bintang (Fiq), Sembunyi (Misha & Andy) dan Destinasi Cinta (Siti Nurhaliza).
Ini kerana lima buah lagu tersebut dilihat mempunyai kekuatan dari segi melodi dan juga liriknya.
Sementara Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) ciptaan Denai dan lirik Andy Rahman itu dirasakan terpilih disebabkan lagu itu benar- benar memenuhi katogeri berkenaan dan mempunyai kekuatan melodi dan liriknya sekali.
Sembunyi yang menampilkan karya Aidil Alfian dan lirik Loloq pula dilihat agak longgar dari segi melodi tetapi kekuatan liriknya akan membolehkan ia dipertahankan untuk terpilih ke final.
Angan dan Sedar ciptaan M.Nasir dan lirik Loloq nyanyian Mawi pula dikatakan lagu kegilaan ramai dan ia menjadi pendorong mempengaruhi juri untuk sama- sama berentap dengan lagu-lagu lain.
Bagaimanapun Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen dan lirik PSNN dipilih bukan sekadar disebabkan kekuatan vokal penyanyinya tetapi termasuklah melodi dan juga lirik. Malah ada yang berkata pemilihan Siti perlu dibuat kerana beliau merupakan aset dalam menaikkan jumlah penonton program itu serta ‘mahu menghormatinya’ selepas lagu nyanyiannya tewas pada katogeri balada minggu lalu.
Bagaimanapun apa yang ditulis ini sekadar ramalan dan analisis ‘cakap-cakap’ orang mengenai siapakah yang bakal bertanding dalam AJL-22 nanti.
Barisan panel juri yang terdiri daripada Amran Omar, Iman Wan, Khairil Johari Johar, Edry KRU, Adam Salleh dan Azhar Borhan mempunyai sebab memilih para pemenang ke peringkat akhir.
Adakah tekaan ini akan menjadi kenyataan atau sebaliknya? Ia sekadar ramalan. Pastikan menonton TV3 pukul 9 malam ini untuk menyaksikan keputusannya.
sumber: utusan malaysia online
Siti Nurhaliza gagal ke AJL-22
KECOH jadinya apabila penyanyi nombor satu negara, Siti Norhaliza gagal ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 22 (AJL-22). Siti menyanyikan lagu Bisakah bagi kategori balada minggu lalu.
Dek kerana Siti gagal, ramai yang tidak berpuas hati terutamanya peminat-peminat Siti. Dalam pada tu ada yang berkata Siti tak naik pentas sebab dia tahu dia akan kalah.
Itu semua kata orang. Tapi kalah atau menang, tak kisahlah sebab sebelum ini pun dah banyak Siti muncul dalam Juara Lagu.
Jangan kecoh-kecoh, lagu yang berjaya ke peringkat akhir adalah kejayaan komposer. Maka peminat Siti kena faham bahawa penyanyi dan kategori untuk penyanyi hanyalah persembahan terbaik.
Juara Lagu mempertandingkan lagu dan satu kategori untuk penyanyi. Jadi kalau lagu yang menang, itu kemenangan komposer. Kalau lagu yang tewas, itu adalah kegagalan komposer. Jadi penyanyi tidak pernah menang lagu terbaik selagi mereka tidak mencipta sendiri lagu itu macam M. Nasir.
sumber: utusan malaysia online
Siti Nurhaliza mengimbau nostalgia menjadi anak polis
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BENARLAH kata orang, zaman kanak-kanak sudah pastinya merupakan zaman yang cukup berharga. Mungkin ada antara kita yang menikmati zaman kanak-kanak yang begitu indah dan manis sekali.
Sebaliknya, ada pula yang terpaksa mengharungi zaman kanak-kanak dengan penuh detik hitam yang memaksa mereka tabah menghadapi dugaan hidup.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, zaman kanak-kanaknya merupakan zaman yang paling indah dan berharga dalam hidupnya apatah lagi menjadi anak kepada seorang pegawai polis. Kenangan manis yang dilaluinya tidak mampu untuk dijual beli.
“Apabila saya mengenang kembali apa yang telah saya lalui, tidak ada apa yang dapat saya katakan melainkan hanya tersenyum, teringatkan memori silam yang penuh warna warni.
“Malam ini telah mengimbau memori silam saya yang berwarna warni itu, apabila melihat kanak-kanak dan warga polis berkumpul meraikan majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya teringatkan masa saya berumur lima tahun.
“Ketika itu, saya sama seperti kanak-kanak yang ada pada malam ini, berkumpul dan beratur untuk mendapatkan duit raya dari tetamu kehormat yang hadir.
“Memang meriah dan terasa kami semua bagaikan satu keluarga yang besar,” kata Siti ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Maktab PDRM di Kuala Kubu Bharu, Selangor lewat malam Ahad lalu.
Dalam majlis itu juga, warga PDRM turut meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan pertama Siti Nurhaliza bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.
“Saya amat terharu dan berbesar hati dengan apa yang telah mereka aturkan untuk kami malam ini. Kehadiran saya dan suami malam ini adalah juga untuk membalas jasa baik warga PDRM ter utama Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal yang banyak membantu dari segi kelancaran perjalanan acara dan keselamatan sewaktu majlis perkahwinan saya Ogos tahun lalu,” kata Siti lagi sambil diperhatikan oleh suaminya.
Bukan Siti dan suaminya sahaja yang hadir pada majlis berkenaan tetapi ibu Siti iaitu Siti Salmah Bachik serta dua anak tiri Siti; Mohd. Adib dan Mohd. Ashraff juga hadir sama.
Gelaran bukan penghalang
Sebaik sahaja selamat menjadi isteri kepada Datuk K pada Ogos tahun lalu, gelaran Datin terus menjadi milik Siti.
Sudah menjadi rezekinya, dua bulan selepas berkahwin, dia dianugerahkan pula dengan pingat yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Selain Siti, Sultan Pahang turut menganugerahkan pingat membawa gelaran Datuk Seri kepada suaminya, Datuk K baru-baru ini.
Bagi diri Siti sendiri, tidak pernah terlintas di fikirannya akan mendapat gelaran setinggi itu sebaik sahaja melangkah kaki ke dunia seni.
“Namun bagi saya, gelaran bukan penghalang untuk saya terus aktif dalam dunia seni. Saya masih seperti dulu dan sapalah saya sebagaimana anda biasa menyapa saya sebelum ini. Kecuali jika majlis tertentu yang memerlukan disebut gelaran, itu tidak mampu saya elak.
“Selagi suami saya mengizinkan saya untuk terus bekerja, selagi itu saya akan terus menghiburkan peminat saya,” katanya yang turut menyumbangkan vokal lunaknya itu buat hadirin menerusi lagu raya berhantunya, Sesuci Lebaran.
Lagu tema Spa Q
Bagi peminat setia slot Akasia yang kini sedang hangat dengan drama bersiri Spa Q (siaran TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang), pasti tertarik dengan lagu tema drama tersebut, Ku Mahu yang merupakan ciptaan Audi Mok manakala liriknya pula oleh Rina Khan.
“Ini merupakan kali pertama saya menyumbangkan suara untuk lagu tema drama bersiri. Semuanya bermula apabila penerbit drama berkenaan yang juga kakak ipar saya, Zaiton Muhammad Jiwa mahukan saya menyanyi untuk lagu tema dramanya.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Saya menerima melodi dan lirik lagu Ku Mahu dalam masa yang singkat dan setelah mendengar dan menghayati liriknya, kami rakamkan lagu berkenaan dalam tempoh setengah jam sahaja.
“Saya amat sukakan Ku Mahu dan ia berbeza dengan lagu rancak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Malah, ini juga kali pertama saya rakamkan lagu Audi Mok dan sudah pasti saya mahu bekerjasama dengannya lagi,” katanya yang masih lagi mempertimbangkan untuk memasukkan lagu berkenaan dalam album terbarunya kelak.
sumber : utusan malaysia online
Hajat Siti Nurhaliza temui Hui Yee tidak kesampaian
|
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Hajat penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mengunjungi penerima jantung baru, Tee Hui Yee bagi memenuhi impian gadis itu di Institut Jantung Negara (IJN) semalam, tidak kesampaian. Menurut pengurus penyanyi itu, Rozi Abdul Razak, Siti tidak berpeluang melawat Hui Yee kerana remaja itu masih berada di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN dan tidak dibenarkan menerima tetamu. “Semalam, Siti mempunyai masa terluang pada sebelah petang dan sedang bersiap untuk melawat Hui Yee sehinggalah kami mendapat panggilan telefon dari IJN yang mengatakan Hui Yee masih belum boleh menerima tetamu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Selain peserta Akademi Fantasia 4, Lotter, Hui Yee sebelum ini menyatakan hajatnya untuk menemui Siti Nurhaliza yang merupakan penyanyi kesayangannya apabila sembuh kelak. Rozi berkata, apabila mengetahui hajatnya itu, Siti sentiasa mengambil tahu perkembangan kesihatan Hui Yee dan ingin memenuhi hajat remaja itu. “Tetapi nampaknya belum kesampaian selagi Hui Yee masih berada di ICU,” katanya. Sementara itu Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-paru IJN, Noor Salina Othman berkata, kesihatan Hui Yee semakin bertambah baik dari hari ke hari. “Walaupun begitu, Hui Yee masih perlu berada di ICU sehingga satu tempoh yang belum dapat dipastikan lagi. “Selagi di ICU, Hui Yee belum boleh menerima kedatangan tetamu kecuali ahli keluarga terdekat,” katanya. Menurutnya lagi, Hui Yee kini sudah mampu berjalan dengan alat bantuan dalam sesi terapi fizikal. “Dia boleh menapakkan kaki dan berjalan secara perlahan-lahan, semua ini dilakukan supaya Hui Yee kembali bertenaga dan sihat,” katanya. Ibu Hui Yee, Dina Bato Sam Bua ketika dihubungi sedang menyuapkan anaknya itu dengan sekeping roti bersapu jem dan mentega untuk minum petang. “Selera Hui Yee begitu baik, apatah lagi apabila disuapkan oleh saya sendiri, kadang kala bertambah,” katanya. sumber : Utusan Malaysia online |
Siti Nurhaliza rela berbagi kasih sayang
Oleh: TENGKU KHALIDAH BIDIN & WANDA IDRIS
![]() |
| Siti Nurhaliza dan Datuk K bahagia bersama anak-anak. |
SEMEMANGNYA bukan mudah untuk mencelah di tengah-tengah kehidupan sebuah keluarga yang sedia bahagia, apatah lagi andainya kehadiran itu sedikit terlewat dari waktunya. Banyak masa dan perasaan yang perlu dikorbankan untuk mengambil hati, menjaga perasaan insan-insan di sekeliling kehidupan baru yang sedang ditempuhi.
Begitu juga Datuk Siti Nurhaliza pada ketika dia berusaha untuk mencuri sedikit kasih sayang daripada diri anak-anak suaminya, hasil dari perkahwinan terdahulu. Penyanyi ini mengakui pada awal perkahwinan dengan Datuk Khalid Jiwa (Datuk K), bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai ‘ibu tiri’ kepada empat anak lelaki. Tetapi hari ini kelihatan keadaan semakin berubah.
Siti bukan sahaja berjaya menawan hati suaminya, tetapi juga dapat merapatkan dirinya ke dalam kehidupan anak-anak lelaki itu setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga.
“Cukuplah kalau Siti hanya dapat jadi kawan baik mereka. Itu saja yang Siti mahu,” kata Siti Nurhaliza apabila diajak berbicara tentang anak-anak suaminya daripada perkahwinan terdahulu. Semenjak sekian lama banyak yang meminta sesi fotografi ini diadakan. Mereka mahu tahu rahsia Siti Nurhaliza membina kasih sayang dengan anak-anak yang sering kali kelihatan wajahnya di banyak acara nyanyian yang dihadiri Siti.
Awalnya bukan mudah mengaturkan sesi ini. Mujurlah setelah Pancaindera memberitahu fokus kami yang tersendiri, keizinan diberikan oleh Khalid dan kami bertemu di satu majlis. Sesi fotografi ini diadakan selepas keluarga ini meraikan kenalan dan sahabat handai di sebuah restoran eksklusif. Kelihatan ketiga-tiganya mesra dengan Siti, dan masing-masing tidak menolak bila diajak bergambar bersama.
* Tak mahu merebut cinta
Menurut Siti, dalam kehidupannya dia selalu memberi kesedaran kepada diri sendiri bahawa dalam apa juga keadaan, dia tidak boleh bersaing dengan anak-anak Datuk K. Yang perlu dilakukan ialah menjadi teman dan rakan yang memahami kepada setiap daripada mereka. Itu saja. Sebagai ketua keluarga, Datuk K dilihat sebagai figura lelaki yang bertanggungjawab.
Siti mengakui pada awal perhubungannya dengan keluarga ini, dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk menjadi akrab seperti sekarang. Hari demi hari Siti kelihatan makin rasi dengan anak- anak suaminya hasil dari perkahwinan pertama. Baik Adib, Ashraff mahupun Aazif, ketiga-tiganya juga tidak lagi kekok bersama Siti. Anak sulung Datuk K, Anas ketika ini sedang melanjutkan pengajian di Australia.
Malah panggilan ‘Mak Iti’ juga semakin sebati di bibir mereka, sebagai menghormati wanita yang dipilih oleh ayah mereka sebagai isteri itu. Melihat kemesraan antara mereka, hati bertanya apa rahsia Siti berjaya menawan hati anak-anak suaminya itu?
Ingin juga berkongsi segalanya dengan pembaca Pancaindera yang banyak bertanya apa yang dibuat oleh penyanyi popular ini dalam menambat hati ketiga anak berkenaan.
Rahsianya? Kata Siti, dia hanya menjadi dirinya yang sebenar dalam setiap apa juga perkara yang dilakukan.
Apabila dia masuk dalam keluarga suaminya, satu yang Siti sedar dia perlu turut sama menggalas tanggungjawab kepada setiap ahli dalam keluarganya.
Menurut Siti, dia sama sekali tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Jauh sekali ada sifat tamak dan haloba dalam mendambakan kasih sayang dari suaminya.
“Melihat apa yang Datuk berikan kepada anak-anak, Siti tumpang gembira. Bagi Siti kalau boleh jadi kawan baik anak-anak Datuk pun sudah cukup. Itu saja yang Siti hendak, jadi kawan baik dia orang. Bukan lain-lain yang lebih-lebih,’’ katanya.
* Belajar jadi ibu
Berapa lama Siti ambil masa untuk membina kasih sayang dengan anak-anak Datuk K? Menurut Siti, memang pada awalnya dia mengambil masa untuk masuk ke dalam keluarga berkenaan. Lebih-lebih lagi di usianya yang masih muda, dengan anak-anak Datuk K yang sudah menjengah remaja, tentunya memakan masa untuk mereka menjadi mesra.
“Permulaan dulu, kita kenal-kenal sebagai kenalan biasa saja. Mula-mula tu ambil masa juga. Siti pun masih belajar sesuaikan diri. Tetapi akhirnya tidak ada masalah. Prinsip Siti senang saja, kalau masa itu Datuk dengan anak-anak, Siti biarkan. Siti tak boleh ganggu, sebab Siti faham anak-anak perlukan ayah mereka juga.
“Dalam apa keadaan sekalipun Siti tak akan halang kalau Datuk lebih utamakan anak-anak sebab Siti tahu itu tanggungjawab seorang bapa kepada zuriatnya,” katanya.
Hubungan dengan anak-anak Datuk K juga akan menjadi proses pembelajaran terbaik untuk Siti menyesuaikan dirinya, seandainya suatu masa nanti dia dikurniakan anak sendiri. Pun begitu Siti tidak nafikan dengan kehadiran tiga anak-anak ini di kediamannya, mereka hidup dalam suasana yang lebih meriah dan ceria.
“Bila ada budak-budak di rumah kita akan jadi lagi ceria. Hujung minggu biasanya mereka datang rumah Siti, bermalam bersama-sama. Hari lain masa mereka banyak di rumah di Bukit Antarabangsa,” katanya.
Dua minggu sebelum hadirnya 1 Syawal, Siti bersama dengan suami dan anak-anak menghabiskan masa ke pusat membeli-belah Pavillion yang baru dibuka di tengah-tengah ibu kota untuk membuat persediaan berhari raya.
* Bersambungkah silaturahim?
Sudah dapat menambat hati anak-anak, ada soalan nakal yang minta kami tanyakan kepada Siti. Setelah lebih setahun masa berlalu, tidakkah jauh di sudut hati penyanyi ini berhasrat untuk cuba berbaik semula dengan wanita yang suatu ketika dahulu pernah hadir dalam kehidupan suaminya.
Bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham sebelum ini juga adalah salah seorang daripada kenalan Siti, jadi apalah salahnya kalau buangkan yang keruh, ambil saja yang jernih.
Banyak pahalanya kalau kita menjalinkan semula silaturahim yang telah terputus di masa lalu. Bagaimanapun Siti memilih untuk tidak menjawab soalan itu. Malah katanya, kalau boleh bicara kami tidak terarah kepada persoalan itu. Sampai bab ini kita juga terpaksa memahami. Barangkali Siti tidak mahu bicaranya tersalah ditafsir, atau mungkin bakal melukakan.
Justeru bibirnya menegaskan, “jangan sentuh pasal hal itu ya. Siti tak tahu hendak cakap macam mana.”
Sementelah Datuk K juga ada bersama, kami cuba bertanyakan soalan yang sama. Awalnya Datuk K juga enggan mengulas dan meminta supaya tidak ditanya soalan yang sama. Bagaimanapun kerana mahu menyelusuri jauh ke dalam hati mereka, kami minta juga pendapat Datuk dalam soal berkenaan. Sedikitpun komen pun jadilah.
“Saya tak ada masalah. Kalau berbaik pun, anak-anak juga yang senang. Tetapi itulah. Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya. Saya percaya suatu hari nanti keadaan akan menjadi jernih semula, kita mengharapkan yang terbaik dalam apa juga perkara pada masa depan’’ katanya.
* Siti tidak lokek
Layanan Siti kepada anak-anaknya menjadikan Datuk K cukup terharu. Malah dalam sesetengah keadaan Datuk K banyak memuji Siti yang disifatkan matang dan terbuka dalam soal berbagi kasih sayang.
“Dia tak pernah kedekut dalam soal kasih sayang. Malah dia yang selalu ingatkan saya supaya telefon anak-anak. Tanya pada saya anak-anak mereka berada di mana? Kalau anak-anak tak datang, dia yang lebih susah berbanding saya,” cerita Datuk K.
Pernah dalam jangka masa hampir sebulan, Datuk K langsung tidak menyentuh buku-buku tugasan sekolah anak-anak akibat kesuntukan waktu. Dia ditegur oleh Siti kerana melupakan tanggungjawab berkenaan.
“Dia pula yang marahkan saya. Kenapa tak periksa buku anak-anak? Sebab itu saya melihat Siti dewasa. Dia tahu masa saya dengan anak-anak, dia tak akan ganggu.
“Kadang-kadang dia SMS saya, bagi tahu dia bangga bila saya betul-betul beri tumpuan pada anak-anak melebihi dirinya. dia tak kisah tentang semua itu,” kata Datuk K lagi.
* Kisah sensitif rumah tangga
Pepatah ada mengatakan lautan tidak akan berhenti geloranya, badai pula tidak akan berhenti melanda pantai. Sama juga dengan kehidupan berumah tangga. Tak akan pernah lekang dari kisah-kisah sedih dan pahitnya.
Baik Siti mahupun Datuk K, menganggap kisah rumah tangga mereka juga begitu. Bagaimanapun baik badai mahupun gelora yang melanda, kebanyakannya terhasil dari pihak luar yang membawa angkara.
Gosip, fitnah dan tuduhan sudah menjadi makanan kehidupan pasangan berselisih usia hampir 20 tahun ini. Pun begitu setiap kali ada cerita buruk mendatang, kedua-duanya tidak cepat melatah. Bukan saja Siti, Datuk K juga tidak lari dari menjadi mangsa gosip.
“Siti tahu siapa suami Siti. Setiap kali timbul cerita macam-macam Siti pun pelik, kenapa nama suami Siti yang selalu dikaitkan. Tetapi Siti tak kisah. Sebabnya Siti memang tahu bagaimana kebenarannya, buat apa hendak peningkan kepala memikirkan hal-hal fitnah seperti itu. Yang Siti hendak ketika ini hidup dalam ketenangan dan bahagia bersama, itu saja,” kata penyanyi ini dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.
* Kisah wanita bernama Azizah
Ketika anda menatap edisi ini, sudah empat hari Siti berada di pentas mewah Istana Budaya. Siti memulakan fasa baru kehidupannya sebagai pelakon di pentas teater P. Ramlee The Musical….The Life, The Love, The Inspiration.
Bercakap soal teater berkenaan, kata Siti mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk dia menjadi Azizah, kekasih unggul kepada P. Ramlee lakonan Sean Ghazi.
Siti perlu membawakan seluruh emosi sebagai Azizah supaya tidak memperlihatkan kecacatan sewaktu beraksi.
Apa kata suami melihat Siti di pentas lakonan? Berpasangan dengan lelaki lain pula tu, membawakan watak orang sedang asyik mahsyuk bercinta. Atau sesekali di rumah, Datuk K pun cuba jadi P. Ramlee, untuk membantu Siti menghayati watak Azizah dengan lebih baik?
Kata Siti suaminya ‘okey’ saja. “Tak adalah sampai dia pun turut berlakon jadi P. Ramlee. Tapi sesekali bila Siti bercakap dengan Datuk, dia ada juga usik Siti dengan membalas, “ya Ajijah, nak apa?”
Menurut Siti, dia sebenarnya sangat malu untuk berlakon di hadapan suaminya itu. Sebab itu di rumah, jarang sekali dia berlatih di depan suaminya, kecuali sewaktu Datuk K tiada di rumah.
“Tetapi di tempat latihan kena buat juga. Kadang-kadang dia tengok jugalah sebab Datuk selalu temankan Siti masa latihan jika dia ada kelapangan. Malu ke, segan ke, Siti kena buat juga sebab nanti tiba hari pementasan perasaan malu tu semua kena buangkan jauh-jauh. Jadi Siti masih melatih diri untuk buang segala rasa malu dan segan di pentas,” katanya.
Untuk menyaksikan Azizah lakonan Siti Nurhaliza, masih belum terlambat kerana pementasan ini berlangsung sehingga 3 November ini.
sumber: utusan malaysia online

