Hadiah Daripada Hati



Datuk K, Siti cari ketenangan di Bali

Datuk K, Siti cari ketenangan di BaliCerita dan foto oleh Zubir Mohd Yunus


Kemesraan jelas terbayang pada wajah pasangan popular ini walaupun terus dihimpit pelbagai cerita negatif

SEPANJANG minggu lalu, industri hiburan digemparkan dengan berita kononnya penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dimasukkan ke hospital kerana dipukul suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali Datuk K selepas hampir setahun pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan Siti dan Khalid yang dianggap Wedding of the Decade itu dimulai majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos tahun lalu, diikuti persandingan gilang gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos, seterusnya diakhiri persandingan di Dataran Lipis, Pahang pada 3 September.

Desas-desus turut menyebut Datuk K bertindak begitu kerana dia mahu berkahwin lain. Pun begitu, Siti menafikan kejadian itu menerusi satu laporan akhbar dan menyifatkannya sebagai satu fitnah. Laporan media turut menyatakan, Khalid akan membawa isterinya bercuti ke Bali mulai 14 Julai lalu.

Mungkin kebetulan yang seolah-olah dirancang rapi, namun hakikatnya tidaklah begitu kerana penulis seisi keluarga turut berada di Kuta, Bali pada tarikh berkenaan kerana bercuti.

Sebaik saja menerima kiriman SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) daripada Editor Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah di Kuala Lumpur yang mahu penulis mendapatkan komen mereka, Datuk K terus dihubungi dan akhirnya satu pertemuan eksklusif bersamanya dan isteri diadakan keesokan harinya (15 Julai).

Penulis menerima jemputan makan tengah hari daripada pasangan popular itu di sebuah resort percutian mewah iaitu di Amandari, Desa Kedewatan, Ubud, Bali. Siti bersama suaminya menginap di Asmara Suite yang berharga AS$2,100 semalam. Suite berkenaan juga pernah didiami bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter.

Kedatangan penulis disambut mesra oleh pasangan berkenaan. Khalid juga sempat memberitahu, percutiannya ke Bali bersama Siti kali ini adalah bagaikan ‘pre honeymoon’ mereka, selain menguruskan beberapa hal berhubung perniagaan.

Dalam pertemuan itu, Khalid dan Siti turut ditemani pakar chiropractic dari Jakarta, Indonesia, Dr Anthony K Dawson DC apabila Khalid mendapatkan rawatan susulan urutan bahu sejak mengalami kecederaan selepas Fiesta Media Idola 2007 (FMI’07) di Kuantan, Pahang, April lalu.

“Zubir, tengoklah sendiri muka Siti, kalau ada lebam-lebam,” kata Khalid bergurau sementara menunggu panggilan telefon daripada krew Melodi di Kuala Lumpur yang ketika itu sedang menjayakan lintas langsung menerusi TV3, kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Siti ketika diajukan pertanyaan berhubung khabar angin itu, menjelaskan gosip berkenaan tersebar menerusi SMS pada petang Jumaat lalu (13 Julai).

“Siti dapat tahu mengenai perkara itu pada sebelah malamnya. Itupun selepas dihubungi Kak Rozi (kakak ipar). Ketika itu, Siti bersama suami baru saja pulang menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Osman Desa yang turut dihadiri beberapa menteri kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya.

“Kak Rozi memberitahu, cerita Siti kononnya dipukul suami, sehingga masuk hospital dah kecoh apabila media ke balai polis untuk mendapatkan pengesahan, selain menghubungi pihak hospital. Siti turut dimaklumkan, cerita berkenaan tersebar menerusi SMS dan panggilan daripada orang tidak dikenali kepada wartawan.

“Siti ingin menjelaskan bahawa cerita itu sama sekali tidak benar, kejadian seumpamanya memang tak pernah berlaku. Bagi Siti, orang yang menyebarkan fitnah ini mungkin sakit hati, sakit mata atau mungkin sakit jiwa. Mereka tak boleh tengok Siti bersama suami hidup bahagia.

“Siti pernah melalui gosip yang lebih teruk dari ini, tapi ia membabitkan Siti seorang diri. Tapi, selepas mendirikan rumah tangga, ini adalah gosip pertama yang turut mengheret nama suami Siti, sekali gus membabitkan reputasinya dan maruah keluarga mentua,” kata Siti dalam nada kesal.

Sementara itu, Datuk K mengakui ibu dan ayah Siti tidak senang dengan cerita seumpama itu sehinggakan bapa Siti memintanya membuat laporan polis agar siasatan segera dapat dibuat ke atas pihak yang tidak bertanggung jawab menyebarkan fitnah berkenaan.

“Saya akan berbincang semula dengan bapa mentua. Kalau itu kehendaknya, saya akur. Saya dan Siti sendiri memang nak tahu ini angkara siapa dan dari mana sumbernya. Pun begitu, setakat ini saya belum terfikir nak saman pihak berkenaan. Seandainya tersaman orang terencat akal atau kanak-kanak kecil, tak guna juga.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini, orang hendak memberi imej yang buruk terhadap saya, bukannya hendak menjatuhkan Siti sangat. Saya kesal dengan fitnah ini lebih-lebih lagi dalam usia rumah tangga yang baru hendak mencecah setahun bulan depan,” ujar Datuk K lalu meminta diri untuk ke Dream Land, Bali atas urusan perniagaan.

sumber: emedia


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: