Hadiah Daripada Hati



Mimie disingkir kerana meniru Siti?

MyStarz LG – Mimie tersingkir Elly Suriati disalahkan?

Kelmarin telah diadakan konsert minggu keempat program TV realiti, My Starz LG di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor. Konsert yang bersiaran secara langsung di TV3 pukul 6 petang itu menyaksikan penyingkiran Mimie Aisha yang mendendangkan lagu Pelita Di Bawah Purnama.

Peliknya, Mimie dan anggota keluarganya bagaikan tidak puas hati dengan penyingkiran itu. Lalu menimbulkan kekecohan antara Mimie dan keluarganya dengan Elly Suriati selaku pengajar persembahan.

Mimie secara terbuka membuat pengakuan bahawa dia tertekan dengan sikap Elly Suriati yang melabelkan dirinya mahu meniru gaya nyanyian Siti Nurhaliza. Kata Mimie, itu menjadi penyebab dirinya tersingkir. Malah Mimie bersumpah bahawa dia tidak meniru gaya nyanyian Siti Nurhaliza. Pengakuan itu disiarkan menerusi program MyStarz LG Reflex yang disiarkan secara langsung di ntv7 pukul 7 malam, kelmarin.

Kata Mimie: “Saya tertekan kerana tiga hari sebelum konsert, Kak Elly memberi tekanan kepada saya. Dia menyentuh tentang identiti saya. Dia kata saya cuba meniru gaya nyanyian Siti Nurhaliza. Sumpah saya tak meniru Siti Nurhaliza. Inilah diri saya. Tak pernah saya rancang untuk menjadi seperti Siti. Saya bertanyakan pendapat kepada kawan-kawan serumah dan Aubrey Suwito (pengarah muzik), mereka pun kata suara saya tak sama dengan Siti.”

Biarpun terkilan dengan penyingkirannya daripada program itu, namun kata gadis tersebut apa yang berlaku diterimanya dengan reda.

Mimie juga memberitahu bukanlah dirinya tidak dapat menerima teguran sebaliknya perlakuan Elly benar-benar memberi tekanan kepada dirinya dan apa yang diluahkannya bukanlah berniat untuk menimbulkan sebarang kontroversi.

Dalam masa yang sama, kedua-dua ibu bapa Mimie yang ditemubual dalam rancangan MyStarz LG Reflex turut mempertikaikan sikap Elly.

Kata mereka, sikap Elly keterlaluan. Malah mereka mendakwa, apa yang dilakukan Elly, sudah dirancang dan mereka sangat terkilan.

Elly terkejut

Elly Suriati agak terkejut dengan dakwaan Mimie dan keluarganya.

Kata Elly: “Saya memang bukan yang terbaik tetapi saya sudah berpengalaman dalam bidang ini. Kita dapat kenal cara nyanyian peserta itu sama ada datang dari dirinya atau tidak. Saya melihat dia seolah-olah cuba mengayakan seperti Siti, sebab itu saya cuba ubah dia.

“Tetapi semasa latihan pun dia sanggup bersumpah mengatakan dia tak meniru Siti. Itu yang membuatkan saya lebih marah. Kita yang melihat, kita tahu dan nampak dia seperti 150 peratus Siti Nurhaliza,” kata Elly ketika ditemui selepas rancangan tersebut.

Tambah Elly apa yang dilakukannya mungkin kelihatan kasar tetapi bertujuan untuk menonjolkan apa yang ada dalam diri Mimie.

“Saya terpaksa kasar begitu, kerana saya mahu Mimie berikan yang terbaik. Saya tahu dia boleh buat. Semasa latihan, apabila dia kena marah-marah, dia boleh berikan yang terbaik dan tidak seperti Siti. Tapi bila saya marah-marah, dia seolah-olah putus harap,” katanya lagi.

Badri dan Emeer menyerlah

Pada konsert tersebut, Mimie telah bersaing bersama empat lagi rakan-rakannya iaitu Badri, Emmer, Rubisa dan Russell.

Nyata persembahan Badri yang menyanyikan lagu Sedang Ingin Bercinta mendapat pujian juri malahan menerusi lagu tersebut lebih menonjolkan kekuatan vokalnya.

Satu-satunya peserta yang memberi saingan kepada Badri tentunya peserta cilik, Emeer. Mendendangkan lagu Gerhana, gaya lincah Emeer berjaya mencuit hati semua penonton dan juri.

Dua lagi peserta iaitu Rubisa dan Russell sekadar memberikan sebuah persembahan yang boleh dikatakan menyelamatkan diri masing-masing.

Pada minggu tersebut Siti Nurhaliza selaku juri tetap, ditemani Pengurus Besar Hiburan, Sukan Dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan yang menggantikan Patrick Teoh dan Jennifer Thomson selaku juri undangan.

Mimie merupakan calon ketiga yang tersingkir selepas Awang Jasmin Jaimin dan Ahmad Aliff Afif Tirmizie . Minggu depan lima lagi peserta bakal berentap dan bakal menyaksikan seorang lagi calon disingkirkan.

MyStarz LG membariskan komposer Farihin Abdul Fattah sebagai pengetua dan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik manakala pemarkahan iaitu 40 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas dan 60 peratus menerusi juri profesional.

Juara MyStarz LG berpeluang memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, sebuah TV LCD berukuran 42 inci dan rakaman album dengan label antarabangsa.

sumber: utusan malaysia online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: