Hadiah Daripada Hati



Siti hanya singgah jumpa Tiara

Siti hanya singgah jumpa Tiara

Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
KEHADIRAN Datuk Siti Nurhaliza ke majlis pelancaran kafe milik Datin Seri Tiara Jacquelina, Borneo Rainforest Cafe di Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini, seolah-olah menjawab spekulasi Siti akan berlakon dalam teater My Name Is Remy.

Beberapa penyanyi terkenal disebut-sebut dalam senarai barisan pelakon teater arahan Adlin Aman Ramlie yang akan dipentaskan selama tiga minggu bermula 18 Oktober ini untuk watak Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Menerusi artikel EPSB lamar Siti dalam Harian Metro, Jumaat lalu menyatakan Siti antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan Enfiniti Production Sdn Bhd (EPSB). Malah Siti dikatakan hadir pada hari terakhir bengkel pementasan teater muzikal itu.

Bagaimanapun Tiara menafikan pihaknya ada menawarkan Siti berlakon dalam teater itu sebagaimana dilaporkan, sebaliknya kehadiran Siti ketika bengkel itu hanya singgah bertemu dengannya.

Katanya, dia dan Zahim Al-Bakri masih berbincang untuk memilih barisan pelakon teater itu kerana mempunyai beberapa nama yang sesuai dan layak hingga sukar membuat pilihan.

“Untuk watak Saloma juga ada beberapa nama dan kami akan membuat pilihan yang tepat. Semuanya akan diumumkan tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya bimbang kesan daripada artikel yang disiarkan itu. Apa persepsi orang lain dan bagaimana perasaan artis yang menjalani uji bakat untuk watak tertentu.

“Saya bimbang ada artis yang kecil hati apabila timbul cerita kami mahu Siti sedangkan uji bakat memilih barisan pelakon teater ini membabitkan beberapa nama.

“Saya harap senarai nama barisan pelakon My Name Is Remy dapat diputuskan Isnin ini (semalam) seterusnya diumumkan pada Rabu,” katanya.

Tiara berkata, pihaknya agak sukar membuat pilihan kerana ia satu pementasan besar dan memerlukan komitmen daripada mereka yang terbabit.

“Komitmen untuk teater amat besar dan pemilihan pelakonnya tidak boleh dibuat sebarangan.
“Selepas kejayaan teater Puteri Gunung Ledang The Muzikal, ramai yang berminat menjayakan pementasan ini. Apa pun, kami perlu membuat pemilihan yang sesuai,” katanya.

Sementara itu Siti ketika ditemui enggan mengulas lanjut lamaran daripada EPSB itu. Katanya, belum ada kata putus mengenainya buat masa ini.

“Banyak yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Hadir sama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa dan anak bongsu, Muhammad Aazief, 8. Tetamu lain, Juliza Adlizan, Radhi Khalid, Pat Ibrahim, Sofia Jane dan Diana Danielle.

Majlis pelancaran Borneo Rainforest Cafe di depan Hotel Sunway Lagoon itu meriah dengan kehadiran rakan artis, kenalan dan juga keluarga Tiara.

Tiara ditemani suami, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan anak, Hani Karmila dan Eridani melancarkan kafe itu disaksikan tetamu yang hadir. ia dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan dari Sarawak.

Katanya, dia bangga kerana akhirnya mampu merealisasikan impian ibunya, Nelly Tan yang bercita-cita membuka restoran.

“Saya berjanji padanya akan menunaikan impiannya itu suatu hari nanti. Hasrat itu sudah lama tetapi seperti menerbitkan filem, ia juga perlukan masa sesuai dan menemui skrip sesuai.

“Sasaran saya 2007. Sejak awal tahun, saya mula mencari lokasi sesuai. Saya mahukan tempat yang menjadi tumpuan ramai dan lokasi menarik. Ternyata saya menemuinya di sini.

“Saya mahu kafe ini berkonsep gerai tetapi perkhidmatannya lima bintang. Itulah sebabnya di sini ada lapan gerai yang menyediakan lebih 100 makanan.

“Paling penting, makanan yang dipilih semuanya kesukaan saya. Contohnya kuih akok dan cik mek molek memang kesukaan saya tetapi hanya dapat makan setiap kali Ramadan. Apabila membuka restoran, mereka yang sukakan kuih ini dapat menikmatinya setiap hari.

“Makanan lain nasi kerabu, otak-otak, char kuetiau, nasi lemak dan laksa Sarawak. Makanan Barat juga disediakan seperti ‘lamb chop’ dan pasta tetapi disesuaikan dengan resipi tempatan.

“Ia sesuai dikunjungi seisi keluarga kerana mempunyai suasana santai dan banyak dekorasi menarik termasuk untuk kanak-kanak. Sebagai ibu, saya faham ada keluarga yang ingin menikmati makan malam dengan aman bersama anak-anak,” katanya.

Katanya, kafe itu beroperasi bermula Sabtu, sehari selepas pelancaran dan mampu menampung antara 300 hingga 400 pelanggan pada satu masa.

“Mungkin saya akan mengundang pemuzik pada hari minggu untuk memeriahkan suasana di sini,” katanya.

sumber: harian metro online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: