Hadiah Daripada Hati



Jaga hati Siti

Jaga hati Siti

 


DITEMUI: Tiara (tengah) bersama barisan pelakon utama
dan tenaga produksi muzikal Remy… Kisah P Ramlee.

Produksi Remy… Kisah P Ramlee terpaksa akur permintaan penyanyi popular ituBEBERAPA kali cuba berteka-teki, malah pernah menafikan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza akan terbabit dalam pementasan teater muzikal, Remy… Kisah P Ramlee, semua keraguan itu berakhir malam Rabu lalu.

Penerbit Eksekutif Enfiniti Productions Sdn Bhd, Datin Seri Tiara Jacquelina mengesahkan penyanyi wanita terkenal itu bakal memainkan peranan wanita pujaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Azizah, satu daripada lima watak utama yang bakal menunjangi pementasan itu.

Menurut Tiara, kata persetujuan diberikan isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa itu beberapa jam sebelum pengumuman senarai pelakon utama dibuat. Malah, rakaman penghargaan Siti yang tidak dapat hadir pada sidang media itu kerana terikat dengan persembahan lain di sebuah hotel turut dilakukan pada saat akhir.

“Pilihan untuk menentukan senarai barisan utama pementasan ini cukup sukar kerana kami terpaksa memilih yang terbaik antara yang terbaik. Semua ada di depan mata, namun kami mengutamakan bakat.

“Siti tidak pernah berlakon dan pementasan ini adalah titik permulaan untuk dia melangkah lebih maju sebagai anak seni. Kami yakin dia mampu melakukannya dengan bimbingan semua pihak,” kata Tiara pada sidang media yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, Petaling Jaya.

Seperti barisan pelakon lain, pemilihan Siti dalam senarai utama juga dibuat berdasarkan sesi uji bakat yang dihadirinya. Justeru, kata Tiara, pemilihan Siti tidak harus dilihat daripada sudut komersial semata-mata kerana dia memenuhi kriteria yang diinginkan untuk menzahirkan watak Azizah.

Tiara juga tidak menafikan membawa Siti ke dunia lakonan bermakna mereka harus mematuhi beberapa prinsip yang pernah digariskan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Bagaimanapun, Adlin Aman Ramlie yang bertindak sebagai pengarah pementasan itu cuba mencapai kesepakatan supaya tidak menimbulkan perasaan kurang selesa di hati Siti, keluarga mahupun peminatnya.

“Kami menghormati permintaannya dan pada masa sama, ada juga perkara tertentu yang perlu Siti penuhi. Tetapi, watak Azizah memang bersesuaian dengan karakternya malah ia selari penampilan Siti.

“Kami menjadikan watak Azizah lebih organik dan membentuknya supaya bersesuaian dengan penampilan Siti. Syarat Siti sendiri tidak terlalu tegas. Cuma katanya, dia tidak pernah berlakon dan kalau berlakon, dia ada syarat tertentu. Alhamdulillah, kami mampu mengatasi semua halangan itu.

“Interpretasi kami mengenai watak Azizah ada dalam diri Siti dan percayalah, Siti tidak akan menghampakan semua,” kata Adlin yakin.


PERANAN BERAT: Sean Ghazi dan Liza Hanim bakal
memainkan peranan utama sebagai P Ramlee dan Saloma.

Katanya, dalam pementasan besar seperti Remy… Kisah P Ramlee mereka sebolehnya cuba mengelak daripada terlalu bergantung kepada populariti artis kerana enggan terjerat masalah dibayangi individu tertentu.Remy… Kisah P Ramlee diadaptasikan daripada perjalanan hidup Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengupas persoalan mengenai kehidupan, cinta dan inspirasi ikon hiburan negara itu akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 19 Oktober hingga 3 November depan.

Pementasan 17 persembahan itu menampilkan Sean Ghazi memegang watak utama sebagai P Ramlee, manakala watak Saloma pula dijayakan penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim.

Turut terbabit dalam pementasan yang menelan belanja hampir RM2 juta itu ialah Melissa Saila sebagai Junaidah, dibantu Chedd Yusuf (sebagai teman P Ramlee, Sukardi), Alam serta Andy, Alvin dan Rafik dari Infinatez (paparazzi).

Pemilihan pelakon yang akan memegang watak Norizan belum ditentukan.

“Kami mempunyai beberapa nama yang bersesuaian untuk membawa peranan itu. Kesemuanya mempunyai nama besar dalam industri dan ada kekuatan yang tersendiri. Apa yang penting ketika ini ialah komitmen dan kami masih berbincang mengenainya,” kata Tiara.

Akui Tiara, pencarian pelakon bersesuaian untuk memegang watak P Ramlee turut membawa mereka mengembara hingga luar negara. Mendambakan seseorang yang mempunyai tarikan serta pesona selain biasa dengan pementasan pentas, kriteria itu ada dalam diri Sean Ghazi.

“Dia mempunyai kelebihan kerana pengalamannya menjayakan pementasan West End akan membantu sepanjang proses latihan muzikal ini nanti. Tanggung jawab yang digalasnya juga besar kerana P Ramlee ialah ikon hiburan negara,” katanya.

Bakal menggunakan khidmat pasukan yang menaikkan nama pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang seperti Dick Lee (komposer), Pat Ibrahim (koroegrafer), Raja Malek (pereka produksi) dan Boudeng Edruce (penerbit), Remy… Kisah P Ramlee akan membawa penonton menelusuri sisi yang tidak pernah dipaparkan mengenai perjalanan hidup insan seni bernama P Ramlee.

Segala kesedihan, kepayahan serta insan yang pernah menjadi inspirasi sepanjang hayat P Ramlee akan dikupas dalam teater istimewa yang dihasilkan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50.

“Apa yang akan dilihat dalam pementasan ini bukan rekaan semata-mata. Sebaliknya kami cuba mengungkap segala fakta, desas-desus dan kisah di sebalik hidup P Ramlee untuk diluahkan serta diperjelaskan dalam usaha mencari kebenaran,” kata Adlin.

sumber: berita harian online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: