Hadiah Daripada Hati



Siti sedia jadi ibu

Siti sedia jadi ibu

Rap
BEGITU pantas masa berlalu, diam tak diam sudah setahun Datuk Siti Nurhaliza, 28, melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa, 48, atau Datuk K.

Tidak pernah mungkir janji

BEGITU pantas masa berlalu, diam tak diam sudah setahun Datuk Siti Nurhaliza, 28, melayari bahtera rumah tangga bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa, 48, atau Datuk K.

Terasa seperti baru semalam Siti melangsungkan pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan yang turut disaksikan seluruh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung pada 21 Ogos, tahun lalu diikuti persandingan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos.

Jika majlis perkahwinan itu Siti dan Datuk K melantik perancang perkahwinan bagi memastikan majlis berjalan lancar, tentunya majlis ulang tahun pertama perkahwinan mereka, turut diraikan bersama keluarga rakan dan peminat dalam majlis istimewa.

“Alhamdulillah, perkahwinan saya berjalan dengan baik walaupun baru setahun jagung.

Tapi saya sedar masih jauh perjalanan yang harus ditempuh.

Semoga rumah tangga yang dibina sentiasa dilindungi dan diberkati.

“Sebagai tanda kesyukuran, saya ingin meraikan ulang tahun pertama perkahwinan ini dengan majlis doa selamat.

Ada juga hasrat buat majlis khas tapi masih difikirkan lagi.

“Insya-Allah, kalau jadi nanti saya tidak akan lupakan pihak media untuk sama-sama meraikan hari itu,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan persembahan sempena Malam Gala Jusco di Sunway, baru-baru ini.

Apapun, kata Siti, buat masa ini dia dan suami belum ada rezeki menimang cahaya mata, tetapi mereka sekeluarga gembira kerana baru menyambut kehadiran orang baru. Kakak iparnya, Rozie Abdul Razak, melahirkan anak perempuan, Puteri Siti Nurinsyirah Dania, pada 19 Julai lalu.

Katanya, kesibukan memenuhi undangan menyanyi dan juga berlakon teater muzikal Remy…Kisah P Ramlee yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 19 Oktober ini, bukan alasan menangguhkan hasrat mempunyai anak.

“Saya memang sudah bersedia menerima kehadiran anak sebaik saja berkahwin dan tidak pernah menjadikan kesibukan aktiviti seni sebagai alasan untuk menangguhkannya.

“Tapi buat masa ini memang belum ada rezeki lagi. Lagi pun kalau peringkat awal kehamilan, rasanya bukan satu masalah untuk terus menyanyi atau berlakon teater,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam Remy…Kisah P Ramlee melalui watak Azizah, Siti berkata, dia sudah menjalani latihan bersama Pengarah bersama teater itu, Zahim Albakri, khusus membimbingnya cara berlakon dengan betul terutama pengucapan dialog.

Siti mengakui bukan mudah berlakon teater kerana lontaran suara perlu lantang, tetapi Zahim sabar mengasah bakat Siti dengan memintanya melontarkan suaranya sehabis mungkin.

“Rasanya sudah cukup kuat, tetapi Zahim kata itu belum cukup. Berlakon memerlukan saya berdialog dengan emosi bersama gerak badan. Saya juga akan menyanyikan satu lagu dalam teater ini, tetapi judulnya masih dalam cadangan.

“Saya juga tertarik dengan skrip Remy…Kisah P Ramlee yang ditulis Adlin Aman Ramli yang juga pengarah teater ini.

Azizah digambarkan sebagai gadis yang menjadi sumber inspirasi P Ramlee dalam berkarya.

“Mereka kenal sejak kecil di Pulau Pinang tetapi terpaksa berpisah apabila P Ramlee mahu mengejar cita-cita menjadi pelakon terkenal di Singapura. Walaupun begitu, Azizah tetap dalam ingatan P Ramlee walaupun selepas berkahwin dengan Saloma,” katanya.

Mengenai bayaran lumayan yang ditawarkan Enfiniti Productions Sdn Bhd kepadanya, Siti menyatakan bukan harga atau wang ringgit yang dikejarnya apabila menerima tawaran itu, sebaliknya mahu mengutip pengalaman kerana pertama kali berlakon teater.

Penyanyi yang mula popular menerusi lagu Jerat Percintaan ini menafikan dia melanggar janjinya kepada peminat yang dia tidak berminat menceburi bidang lakonan.

Siti berkata, sebelum ini dia bukan tidak mahu berlakon, tetapi mengatakan belum bersedia mencuba bidang itu dan mahu menumpukan perhatian kepada nyanyian.

“Saya juga pernah mengatakan berminat dengan teater muzikal tetapi belum ada peluang yang dirasakan sesuai.

Ternyata, selepas menjayakan konsert Istana Cinta Nostalgia Tan Sri P Ramlee dan Saloma di Istana Budaya, ada pula tawaran menjayakan teater muzikal mengenai P Ramlee.

“Suami juga merestui, malah ketika menghadiri bengkel dianjurkan Datin Seri Tiara Jacquelina, suami turut hadir dan dia seronok melihat pementasan yang dilakukan peserta bengkel,” katanya.

Duta Yayasan Jusco Malaysia ini juga berbangga kerana diundang kali keempat menjayakan majlis makan malam Jusco bertujuan mengutip dana membina rumah kedua Rumah Tunas Harapan yang akan menempatkan anakanak yatim.

Majlis makan malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan Moe Alkaff dan Phua Chu Kang. Mereka menghiburkan tetamu dengan telatah lucu mereka manakala Siti melalui lagu-lagu popular dendangannya.

Persembahan Siti yang bermula kira-kira jam 9.40 malam itu dimulakan dengan lagu rancak, Destinasi Cinta.

Siti mengejutkan penonton apabila muncul dari pintu Grand Ballroom, Hotel Sunway Resort.

“Hari ini saya gembira kerana berpeluang menjayakan makan malam Jusco buat kali keempat. Untuk lagu seterusnya, saya ingin sampaikan lagu yang selalu saya nyanyikan setiap kali berjumpa anak yatim dalam majlis anjuran Yayasan Jusco Malaysia. Ia juga lagu tema Jusco, With All Our Heart,” katanya.

Lagu lain yang turut menjadi pilihan Siti, rangkaian lagu popular kumpulan Indonesia, Samsons, Kenangan Terindah dan Bukan Diriku, rangkaian lagu lama, Tunggu Sekejap dan Sejakku Bertemu Padamu serta Aku Cinta Padamu.

Sebagai menghargai kehadiran Pengarah Urusan AEON Co (M) Sdn Bhd, Nagahisa Oyama, Siti menyampaikan lagu Jepun dan tidak lupa lagu Inggeris, I Will Always Love You. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siarap dan Pengerusi AEON, Datuk Abdullah Yusof.

Bagaimanapun, persembahan Siti malam itu kurang bertenaga berbanding persembahannya sebelum ini hingga ada yang membuat andaian kemungkinan Siti mengandung.

Lagu I Will Always Love You yang pernah dinyanyikan Siti dalam satu konsert mini khusus untuk penggguna Olay tidak lama dulu, tidak benar-benar menyerlahkan vokalnya sebagaimana ketika konsert itu. Begitu juga ketika menyampaikan rangkaian lagu Samsons.

Apapun, pada malam itu penganjur, AEON berjaya mengumpul RM750,000 hasil jualan 112 meja (35 meja emas dan 79 meja merah) masing-masing berharga RM10,000 dan RM5,000. Sebanyak RM400,000 daripada kutipan itu akan digunakan untuk membina dan menguruskan Rumah Tunas Harapan.

Rumah pertama, Rumah Tunas Harapan Sepenuh Hati di Bukit Beruntung, Rawang dibina tahun lalu dan kini menempatkan lapan anak yatim di bawah jagaan ibu bapa angkat.

sumber: harian metro


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: