Hadiah Daripada Hati



Cinta Siti, Datuk K terus membara

Hari ini genap setahun Siti Nurhaliza melayari bahtera rumah tangga

BAHAGIA yang dicari ditemuinya di sisi suami tercinta, Datuk Mohd Khalid Mohd Jiwa yang dinikahinya sejak 21 Ogos tahun lalu. Meskipun dugaan sentiasa datang merentang, kasih yang bertaut dengan lafaz ijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sentiasa hangat disimbah cahaya kasih sayang.

Masih basah lagi di ingatan detik kemeriahan hari bahagia penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang mendapat liputan meluas media, dalam dan luar negara.

Betapa pantas masa berlalu dan tanggal 21 Ogos ini, pasangan suami isteri itu akan menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

“Terasa baru sangat Siti mendirikan rumah tangga, sekejap saja sudah menjangkau setahun,” katanya memulakan bicara ketika ditemui selesai menjayakan persembahan sempena majlis makan malam anjuran Yayasan Jusco Malaysia di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Senyuman yang sentiasa menemani sepanjang temu bual singkat ini berlangsung jelas menterjemahkan warna bahagia yang sedang dilaluinya. Biar di luar sana ada saja mata yang ingin melihat kehancuran istana cintanya, namun penyanyi bersuara lunak ini utuh mempertahankan kebahagiaan yang dikecapi bersama lelaki pilihannya itu.

“Siti gembira kerana perjalanan rumah tangga berjalan sebaik mungkin. Siti bersyukur kerana perkahwinan ini mendapat keberkatan dan berharap, kasih sayang kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Setahun usia perkahwinan itu terlalu singkat, masih jauh lagi perjalanan yang belum Siti dan suami tempuhi,” katanya.

Ditanya bagaimana mahu meraikan detik ulang tahun perkahwinan mereka, Siti berkata, dia menyimpan keinginan untuk mengadakan majlis doa selamat.

Namun katanya, perancangan itu masih lagi difikirkan dan ia bergantung kepada jadual kerja mereka suami isteri.

“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar Siti dan suami tidak akan melupakan pihak media untuk sama meraikan detik kesyukuran itu,” katanya yang masih menanti saat yang akan melengkapkan kehidupannya sebagai seorang isteri dan wanita iaitu hamil.

Persefahaman yang mereka meterai itu juga membenarkan Siti untuk meneruskan karier seninya. Meskipun tidak serancak dulu, alunan suara lunak penyanyi berusia 28 tahun itu masih segar menerjah pendengaran peminat.

Malah Oktober depan, Siti akan mencipta sejarah baru dalam karier seni yang sudah lebih sedekad dilaluinya apabila dia melebarkan bakatnya di pentas lakonan.

Pementasan muzikal, Remy… Kisah P Ramlee menyaksikan kemunculan pertama Siti di pentas lakonan apabila membawakan watak Azizah, wanita misteri yang menjadi inspirasi dalam hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Alhamdulillah kerana suami memberi sokongan padu untuk Siti mencuba dunia lakonan. Malah, ketika singgah di bengkel latihan yang dianjurkan Enfiniti Productions Sdn Bhd, suami juga turut serta. Apatah lagi, pementasan ini diusahakan oleh produksi terbaik, justeru suami tidak keberatan untuk membenarkan Siti mencuba.

“Wataknya pun tidak besar, jika watak utama itu mungkin sukar sikit untuk Siti menerimanya,” kata Siti yang sudah pun memulakan sesi latihan untuk produksi itu.

Ditanya mengenai pengalaman awalnya, Siti berkata, dia sedar akan kekalutan yang bakal dilaluinya kerana nyanyian dan lakonan pentas adalah dua perkara berebza.

Kata Siti, dia tidak menghadapi kesukaran untuk memasukkan seluruh emosinya dalam lagu yang dinyanyikan namun situasi itu tidak sama apabila di pentas lakonan.

“Daripada cara berdialog yang penuh emosi serta gerak badan, Siti akui ada sedikit kesukaran namun Siti bernasib baik kerana pergerakan diawasi oleh mereka yang berpengalaman seperti Zahim Albakri dan Sean Ghazi.

“Buat sementara ini, tumpuan diberikan kepada pengucapan dialog supaya lontarannya lebih jelas nanti. Malah, Siti juga memulakan latihan dengan lagu supaya dapat memberikan sepenuh penghayatan apabila tiba tarikh pementasan nanti,” katanya.

Pada acara Makan Malam Gala 2007 yang berjaya mengumpul dana kira-kira RM750,000 untuk membina Rumah Tunas Harapan kedua di Bukit Beruntung, Hulu Selangor di bawah Yayasan Jusco Malaysia, Siti yang juga duta yayasan itu menghiburkan peminat dengan pelbagai rangkaian lagu popular.

Siti yang sudah empat tahun menjadi duta yayasan itu bersyukur kerana AEON Co (M) Berhad terus menunjukkan keprihatinan mereka kepada pihak yang memerlukan sumbangan dalam membela generasi yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara.

“Moga usaha tahunan itu akan dirahmati Allah dan Siti sangat bersyukur kerana masih dapat berpeluang untuk bekerjasama dalam aktiviti amal seperti ini,” katanya.

Selain Siti, turut membuat persembahan ialah bintang utama siri komedi Pua Chu Kang, Gurmit Singh yang menghiburkan tetamu dengan persembahan jenakanya.

sumber: berita harian online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: