Hadiah Daripada Hati



Seni pop, budaya bangsa dan patriotik

Seni pop, budaya bangsa dan patriotik

SEPANJANG 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, persada seni kita telah melalui banyak perkembangan yang pesat. Kalau pada tahun 1950-an dulu, penyanyi seperti Tan Sri S. M. Salim misalnya, hanya dibayar RM35 bagi mengadakan sebuah persembahan.

Tetapi kini ramai penyanyi kita yang meraih pendapatan lima angka hanya dalam satu persembahan tidak sampai dua jam.

Bagaimanapun, bayaran yang sedikit itu tidak menghalang artis-artis lama kita untuk mencurahkan bakat mereka selain secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan seni dan budaya tempatan.

Bakat yang ada bukan setakat digunakan untuk mencari rezeki, tetapi mereka juga meneruskan kelangsungan akar seni dan budaya bangsa.

Mereka bukan sahaja berjaya mencipta nama sebagai penyanyi pop yang disegani ramai, tetapi pada masa sama turut tidak pernah jemu memperjuangkan lagu-lagu Melayu Asli.

Sebab itu, tidak hairanlah penyanyi seperti S. M. Salim, Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini dan Datuk M. Daud Kilau masih kekal dalam bidang nyanyian sehingga kini.

Pada hari ini, tidak ramai penyanyi generasi muda kita yang sanggup atau berani mempertaruhkan lagu-lagu yang berirama sebegitu.

Dalam hal ini, penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza merupakan contoh terbaik penyanyi generasi hari ini yang boleh dibanggakan.

Siti Nurhaliza bukan sahaja memperjuangkan lagu-lagu pop tetapi beliau juga tidak kekok malah diterima oleh para peminatnya kerana membawakan lagu-lagu Melayu tradisional.

Sebelum ini, penyanyi seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad juga melakukan resipi yang sama dalam menyeimbangi antara seni popular dan seni berteraskan budaya bangsa.

Sayangnya, tidak ramai penyanyi muda kita yang mempunyai kesedaran apatah lagi berani menyahut cabaran seperti itu.

Tidak dinafikan memang ada penyanyi generasi baru yang mengetengahkan elemen-elemen muzik Melayu tradisional dalam lagu-lagu nyanyian mereka.

Bagaimanapun, lagu-lagu yang mereka hasilkan bukannya memartabatkan seni warisan bangsa tetapi ia seolah-olah ke arah menjahanamkan kehalusan seni itu sendiri.

Bayangkan apabila ada lagu-lagu joget dijadikan versi rock, lagu-lagu zapin diadun dalam irama rap dan lagu-lagu 60-an menjadi lagu heavy metal.

Fenomena itu memang sungguh memalukan bukan sahaja kepada si penyanyi dan penggubah lagu tersebut tetapi bagi sesiapa juga yang mendengarnya.

Selain itu, lagu-lagu patriotik juga tidak banyak dicipta, dimuatkan dalam album, dinyanyikan menerusi rancangan TV ataupun persembahan terbuka.

Kebanyakan penyanyi muda kita biasanya hanya bersemangat menyanyikan lagu-lagu berunsur patriotik misalnya ketika menyambut kemerdekaan sahaja.

Ketika ini ramailah penyanyi kita yang menyanyikan lagu-lagu berunsur patriotik terutamanya lagu Tanggal 31 yang pernah dipopularkan oleh Sudirman.

Sebenarnya kita tidak ada banyak lagu bertemakan kemerdekaan dan kita juga terlalu bergantung kepada lagu itu pada setiap kali tibanya menyambut tarikh keramat tersebut.

Dalam hal ini, semangat patriotik bukan setakat tercetus dengan hanya menyanyikan lagu-lagu berunsurkan patriotik semata-mata, tetapi ia juga berkaitan dengan usaha bagi mengangkat serta mempertahankan apa juga yang berkaitan seni, budaya dan warisan bangsa.

sumber: utusan malaysia online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: