Hadiah Daripada Hati



Timur: Tudung guna nama personaliti makin laris

Timur: Tudung guna nama personaliti makin laris

Oleh Nazura Ngah dan Suhana Roslan

Peniaga di bazar Hentian MPKT sedia pelbagai fesyen terkini untuk sambut lebaran

KUALA TERENGGANU: Siti Nurhaliza, Datuk K, Manjalara, KLCC dan mata ikan – antara nama tudung bawal yang semakin popular dan mendapat sambutan menggalakkan, terutama kepada penggemar fesyen terkini untuk menyambut lebaran.

Trend menamakan tudung dengan nama personaliti terkenal sudah lama wujud kerana sebelum ini tudung Mawi, Ina Naim, Waheeda dan Wardina juga gah di pasaran ibarat pisang goreng panas.

Dengan harga serendah RM25 hingga setinggi RM400, kualiti tudung ditentukan melalui kualiti kain, batu permata dan sulaman.

Sama ada kain Jepun atau Korea, batu permata kelas pertama atau kedua atau sulaman tebal atau sebaliknya ,semuanya menentukan gred tudung yang dibawa masuk dari selatan Thailand.

Agak mengejutkan apabila tudung berharga antara RM100 hingga RM400 yang dijual di bazar Hentian Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), di sini, mampu dibeli orang kebanyakan yang mahu kelihatan cantik.

Bagaimanapun, berikutan ketegangan di wilayah selatan negara jiran, peniaga berdepan dengan masalah bekalan khususnya warna tudung yang sering dipadankan dengan warna baju, sekali gus mengehadkan pilihan pembeli.

Seorang peniaga, Jariah Nawi, 40, yang berniaga tudung sejak 17 tahun lalu berkata, nama tudung diperkenalkan pembeli yang datang ke kedai yang bertanyakan tudung berkenaan.

Katanya, kemungkinan nama itu diperkenalkan peniaga di negeri lain khususnya di Kuala Lumpur tetapi mengenakan harga lebih mahal sehingga pembeli datang mencarinya di sini.

Tidak dinafikan, nama personaliti yang digunakan kepada tudung bawal itu mampu menarik minat pembeli untuk menambahkan koleksi tudung malah pemilihan nama diberikan berdasarkan identiti personaliti dalam menghasilkan sulaman atau jahitan manik dan batu permata.

“Contohnya, misai Datuk K yang agak lebat dijadikan simbol kepada tukang sulam untuk menebalkan batu permata (hybrid), manakala sulaman berbentuk S di sepanjang tepian tudung amat sinonim dengan penyanyi Siti Nurhaliza.

“Siri Manjalara yang disiarkan di TV3 baru-baru ini, juga diabadikan kepada tudung bawal ini dalam usaha untuk menambah pilihan pembeli,” katanya.

Tudung KLCC pula diberi gelaran kerana susunan batu permatanya seperti struktur bangunan itu dan menunjukkan gah kepada pemakai setanding bangunan prestij itu.

Seorang lagi peniaga tudung di Hentian MPKT, Ahmad Shukri Zakaria, 38, pula berkata, beliau mendapat bekalan tudung dari Yala, di Selatan Thailand tetapi disebabkan kekacauan di negara jiran itu kebelakangan ini, bekalan tudung sedikit terganggu.

Malah katanya, sepanjang lima tahun menjalankan perniagaan, tahun ini beliau gagal memenuhi selera pembeli kerana warna tudung yang ingin dipadankan dengan baju tidak menepati cita rasa mereka.

“Walaupun banyak tudung yang tergantung di kedai dan masih mempunyai stok, saya tetap risau bekalan akan habis menjelang Aidilfitri.

“Bekalan dari Yala akan sampai setiap minggu membabitkan pelbagai jenis tudung bernilai RM12,000 tapi disebabkan pergolakan di negara mereka menyebabkan bekalan menurun dan warna tudung juga kurang,” katanya.

Bagi pembeli, Emmyliana Jusoh, 21, penggunaan nama personaliti terkenal diberikan untuk membezakan identiti tudung yang sememangnya berlainan jenis bukan kerana mencari populariti murahan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan penggunaan nama personaliti itu membantu mempromosikan tudung selain penjual mampu menjana pendapatan mereka.

“Sebagai pembeli, saya mementingkan kualiti tudung bukan nama tudung itu malah saya juga tidak tahu nama tudung yang dijual dan jenis tudungnya melainkan tertarik dengan sulaman atau jahitan manik sebelum membeli tudung,” katanya.

Rakannya, Junaidah Abdullah, 20, tidak menafikan Terengganu memang dikenali sebagai syurga tudung kerana selain mempunyai koleksi tudung yang menarik, negeri itu juga menjual tudung dengan harga murah.

“Ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, penjual di sana menjual tudung yang sama dengan harga yang sangat tinggi dan ini menyebabkan ramai pembeli akan datang ke Terengganu untuk membeli penutup kepala itu,” katanya.

FAKTA NOMBOR:
Tudung bawal bazar Hentian MPKT

  • RM25 – Harga terendah
  • RM400 – Harga tertinggi.
  • sumber : berita harian


    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: