Hadiah Daripada Hati



P.Ramlee The Musical bakal cetus fenomena

P.Ramlee The Musical bakal cetus fenomena

Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SETELAH Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) berjaya mencatatkan kejayaan yang luar biasa pada tahun lepas, kini teater muzikal terbaru terbitan Enfiniti Productions Sdn. Bhd., P. Ramlee The Musical (PRTM) yang akan mula dipentaskan di Istana Budaya pada 18 Oktober ini dikatakan bakal mencetuskan satu lagi fenomena baru dalam industri hiburan tanah air.
Ini diakui sendiri oleh Penerbit Eksekutifnya, Datin Seri Tiara Jacquelina ketika ditemui pada majlis pemilihan Media Prima Berhad (MPB) sebagai media rasmi untuk teater muzikal berkenaan yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Rabu lalu.

“Sehingga kini, kesemua yang terlibat masih lagi sibuk dengan latihan yang sudahpun memasuki fasa terakhir. Saya kagum dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua, termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
“Saya tidak sangka Siti Nurhaliza boleh memberikan persembahan yang begitu bagus sekali. Ternyata, percaturan kami memilihnya untuk watak Azizah memang tidak silap.

“Apatah lagi menyaksikan Siti menyanyikan lagu baru ciptaan Dick Lee yang berjudul Mulanya Cinta bersama pengarah muzik, Erwin Gutawa. Ia membuatkan saya tergamam dan hampir tidak percaya, Siti berjaya melakukannya,” kata Tiara yang menyatakan Mulanya Cinta merupakan salah satu lagu kegemarannya pada pementasan itu.
Agak istimewa pada pementasan PRTM kali ini, penonton akan menyaksikan penglibatan penggubah muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa sebagai pengarah muzik.

“Menariknya, Erwin Gutawa sendiri yang mahu melibatkan diri dalam pementasan ini ketika kami berbincang dengannya kerana P. Ramlee adalah idolanya. Katanya, hanya inilah caranya untuk dia menyumbang kreativitinya demi P. Ramlee yang sangat dikaguminya,” jelas Tiara lagi.

PRTM menampilkan 40 lagu iaitu 14 lagu baru termasuk Janji Yang Hilang dan Lihatlah Dia nyanyian penyanyi yang sedang meningkat naik, Atilia. Selebihnya adalah lagu-lagu P. Ramlee yang diberi nafas baru oleh Erwin Gutawa.
Tiara turut menyatakan rasa kagumnya pada Liza Hanim yang memegang watak Saloma pada pementasan itu.
“Liza sememangnya ‘jelmaan’ Allahyarham Puan Sri Saloma.

“Liza berjaya menghayati watak Saloma dengan begitu berkesan sekali. Lebih lagi, suaranya yang lemak merdu itu membuatkan dirinya bagaikan Biduanita Negara itu. Malah, keserasiannya bersama Sean Ghazi yang memegang watak P. Ramlee memang menjadi. Seolah-olah kami melihat jelmaan P. Ramlee dan Saloma yang kedua,” ujar ‘Puteri Gunung Ledang’ ini lagi.
Berbanding PGLM, kata Tiara PRTM menggunakan set yang lebih besar iaitu sebanyak 12 set utama berbanding empat sahaja ketika pementasan PGLM.

“Ini kerana PRTM mengambil kisah hidup P. Ramlee bermula dari tahun 50-an sehinggalah ke tahun 70-an. Malah, pelakon kali ini juga lebih ramai iaitu melebihi 40 orang pelakon,” jelasnya.
Khabar gembira bagi Tiara adalah pihak Esplanade Theater Singapura turut meminta pihaknya mementaskan PRTM di pentas bertaraf antarabangsa itu tahun hadapan dan juga pementasan PGLM buat kali kedua.
Para penonton akan berpeluang menyaksikan di sebalik tabir pembikinan PRTM pada 20 Oktober ini, pukul 5 petang di TV3.
Info P. Ramlee The Musical

Harga tiket bernilai RM30, RM50, RM80, RM120, RM150, RM180 dan RM200 boleh didapati menerusi:

* Kaunter Box-office di Istana Budaya.
* Tempahan menerusi talian 03-2091 1666 yang dibuka 24 jam.
* Tempahan menerusi laman web http://www.ticket2u.biz.
* Tempahan menerusi telefon bimbit melalui java.ticket2u.biz dan membuat bayaran di kiosk. lMobility One yang terletak di stesen minyak Petronas di seluruh negara.
* Potongan sebanyak 20 peratus bagi warga emas dan pelajar.

Untuk makluman lanjut, layari http://www.pramleethemusical.com

sumber : utusan malaysia


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: