Hadiah Daripada Hati



Siti puas walaupun kalah

Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
TIADA apa dikesalkan Datin Seri Siti Nurhaliza apabila pertaruhannya melalui lagu Bisakah di peringkat separuh akhir Muzik Muzik 22 Ahad lalu, gagal menempah tiket ke Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22).

Malah Siti mengakui puas hati dengan persembahannya pada malam itu kerana berjaya menyampaikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Tessh R S itu dengan baik, tetapi apakan daya tiada rezeki lagu itu layak ke peringkat akhir.

“Bagi saya tiada apa yang perlu dikesalkan atau dipertikaikan atas kegagalan lagu itu. Malah saya lihat lima lagu yang dipilih juri benar-benar menonjol.

“Saya juga tidak bersetuju kalau ada yang mengatakan lagu Bisakah tidak begitu kuat kerana ia mempunyai keistimewaannya baik dari segi melodi dan juga lirik. Lagu itu single terakhir saya dan jarang diputarkan di radio.

“Sebenarnya saya jarang bawakan lagu itu dan ia susah untuk dinyanyikan. Apapun saya berjaya menyampaikannya dengan baik dan saya puas hati dengan persembahan saya pada malam itu.

“Apa boleh buat kerana lagu itu tidak ada rezeki ke final,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07), Selasa lalu.

Bagaimanapun Siti menafikan dia sengaja pulang awal dan tidak menunggu keputusan lima lagu yang layak ke peringkat akhir diumumkan kerana takut kalah. Siti mengatakan, dia terpaksa bergegas pulang sebaik selesai menyampaikan lagu itu kerana ada komitmen lain.

“Sebenarnya pada malam itu saya ada tiga undangan menyanyi. Selain separuh akhir Muzik Muzik 22, saya juga perlu menghadiri dua undangan lain yang tidak dapat dielakkan selepas itu.

“Itu sebabnya saya meminta jasa baik TV3 supaya giliran saya diawalkan walaupun mengikut cabutan nombor giliran, saya diberi nombor lapan,” katanya.

Dalam separuh akhir Muzik Muzik 22 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad lalu, Siti sepatutnya menyanyi giliran kelapan tetapi minta dipercepatkan. Siti mendapat giliran kedua selepas persembahan Idayu.

Ketiadaan Siti bersama barisan penyanyi lain ketika keputusan diumumkan, turut mengundang spekulasi apabila Bisakah gagal melayakkan diri ke peringkat akhir bersama Harapan, Mahakarya Cinta, Ceritera Cinta, Kasih Tercipta dan Izinku Pergi.

Siti sekali lagi disebut-sebut punya harapan cerah menang untuk kategori pop rock pada Ahad ini apabila mempertaruhkan lagu Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen dan lirik PSSN.

Turut bertanding Aku Pencintamu (Ajai/Ajai) yang dipersembahkan Felix, Angan Dan Sedar (M. Nasir/Loloq/Mawi), Janjiku (Taja/Tass/Sofaz), Percayalah Sayang (Vince/M. Zulkifili/Vince), Farhana Putri Bumi Kenyalang (Denai/Andy Rahman/Jinbara), Tiga Malam Tanpa Bintang (Master G/Azmeer/Fiq), Sembunyi (Aidit Alfian/Loloq/Misha Omar dan Andy Flop Poppy), Itu Kamu (Estranged/Rachael Lawrence/Estranged) dan Satu Harapan (Audi Mok/Nurfatimah/Jac).

Katanya, dia tidak mahu menaruh sebarang harapan sebaliknya cuba melakukan yang terbaik untuk memberi kepuasan kepada dirinya dan juga peminat.

“Kalah atau menang perkara kedua. Saya akan cuba bawakan lagu itu sebaik mungkin,” katanya.

Dalam majlis sidang media pertama ABPBH07 yang turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail, Siti turut membuat persembahan bersama Farawahida dan Faizal AF4.

Siti menyampaikan lagu Mulanya Cinta yang dinyanyikannya ketika menjayakan teater The Musical P Ramlee di Istana Budaya, bulan lalu. Siti yang ditemani kakak iparnya, Rozie Abdul Razak, bergegas pulang sebaik saja selesai menyampaikan lagu itu kerana ada urusan lain.

Isteri ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu juga akan menunaikan haji awal bulan depan dan berada di Tanah Suci selama dua minggu. Bagaimanapun Siti tidak mahu berjanji apakah kepulangannya nanti bersama imej baru memakai tudung.

sumber:harian metro online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: