Hadiah Daripada Hati



‘Insya-Allah inilah imej baru Siti’

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

KEMUNCULANNYA di khalayak ramai memang ditunggu-tunggu. Peminat, terutamanya, ingin sekali melihat gaya baru Datin Seri Nurhaliza apabila artis tersohor ini pulang daripada mengerjakan ibadat haji, 27 Disember lalu. Maklum saja, perdebatan mengenai bagaimana Siti akan mengenakan tudung apabila bergelar Hajah agak hangat juga sebelum wanita berusia 28 tahun ini bertolak ke Makkah.

Lalu, kehadirannya pada majlis meraikan hari lahir Chef Wan di Starhill Gallery, Ahad lalu tidak terkecuali daripada menjadi tumpuan ramai sebaik saja dia melangkah masuk ke restoran Tarbush bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Lensa kamera jurugambar yang membuat liputan majlis keraian itu juga beralih arah seketika, tatkala artis jelita itu tiba.

Tidak hairanlah, apabila majlis terbabit menjadi kemunculan pertama Siti bersama imej baru selepas pulang dari Tanah Suci. Ulasan spontan yang kedengaran, selain ucapan tahniah dan kesyukuran kerana dia dan suami sudah pun selamat kembali ialah betapa penyanyi ini kelihatan manis dan sopan dengan penampilan barunya.
“Insya-Allah, inilah imej baru Siti setelah agak lama mencari-cari penampilan yang sesuai selepas mengerjakan haji. Tudung yang Siti kenakan ini ialah hasil perbincangan Siti bersama pereka, Datuk Bernard Chandran. Siti memilih gaya begini kerana ia bersifat sederhana dan mudah untuk digayakan,” katanya.

Siti juga tidak memilih untuk mengenakan tudung penuh yang melitupi keseluruhan rambut kerana berasakan perubahan secara perlahan-lahan itu bersesuaian dengan hakikat dia masih lagi aktif menyanyi.

“Jika diizinkan Tuhan Siti akan kekal bertudung. Namun, biarlah perubahan ini Siti lakukan secara perlahan-lahan. Biarlah Siti selesa dengan tudung ini dulu sebelum memikirkan gaya tudung lain pula selepas ini,” katanya yang memberitahu, dia juga mungkin akan meminta beberapa pereka tempatan lain menyediakan rekaan tudung sesuai untuknya.

Mengenai kemungkinan wujud kalangan peminat yang tidak menyenangi gaya bertudung ketika ini, penyanyi itu berkata, dia memang tidak dapat lari daripada komen orang ramai. Begitupun dia tidak mahu terkesan dengan ulasan yang bersifat negatif.

Yang nyata, selepas penampilan sulungnya ini, tentu ada kalangan peminat yang ingin menjadikan gaya terbaru Siti sebagai ikutan. Siti sendiri bagai mengalu-alukan peminat yang ingin ‘meniru’ penampilannya kerana bertudung adalah imej yang sopan dan selari dengan ajaran agama.

Pada masa ini, Siti mengaku, koleksi tudungnya masih sedikit kerana dia sendiri baru saja pulang dari Makkah. Kebanyakan tudung yang dimiliki dan bakal dikumpul adalah berasaskan warna hitam kerana ia mudah dipadankan dengan mana-mana pakaian.

Ditanya reaksi suami apabila dia memilih untuk tampil bertudung, Siti berkata, Khalid menyerahkan keputusan untuk berbuat demikian kepadanya. Jelas Siti lagi, suaminya gembira dengan mana-mana pilihan yang dilakukan penyanyi yang baru saja tampil dengan album Hadiah Daripada Hati ini.

Pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-22, 27 Januari ini, Siti berkata dia akan tampil dengan imej tudung lebih kurang serupa. Ia pastinya cuba disesuaikan dengan pakaian yang akan dikenakan pada malam itu, ketika menyampaikan lagu Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen dan Rozi Abd Razak dalam kategori Pop Rock.

Untuk pertandingan itu juga, Siti memberikan kepercayaan kepada Pat Ibrahim untuk mereka gaya tari dan persembahannya apabila dia bersaing di Stadium Putra Bukit Jalil nanti. Latihan bersama penari akan dimulakan Siti pada minggu ini.

Sementara itu, pemilik suara gemersik ini mengaku dia berdoa ke hadrat Ilahi agar ibadat haji yang ditunaikan bersama suami, ibu serta abangnya pada Disember lalu bukanlah haji terakhir untuk dirinya.

Walaupun jutaan manusia memenuhi setiap ruang tempat ibadat terbabit, namun Siti cukup bersyukur dan gembira apabila dapat menunaikan setiap rukun haji dengan sebaiknya. Katanya, seperti yang dihajatkan, semuanya berjalan dengan lancar sepanjang dia dan suami mengerjakan ibadat berkenaan.

“Siti juga terserempak dengan penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul, ketika kami sama-sama menginap di Hotel Intercontinental, Makkah,” katanya bercerita sebahagian daripada pengalaman sepanjang dua minggu berada di Makkah dan Madinah.

sumber: berita harian online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: