Hadiah Daripada Hati


« Ucapan | Home | Zon Muzik »

Hijrah Siti

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
Insaf, rasa kerdil di Tanah Suci
KEPUTUSAN dibuat Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, tampil mengenakan selendang di kepala selepas pulang dari menunaikan ibadat haji pada 27 Disember lalu, menerima reaksi pelbagai daripada peminat.

Ada yang menyambut baik keputusan dibuat dan memuji Siti kelihatan manis bergaya begitu. Apatah lagi ia sesuai dengan statusnya yang kini bergelar hajjah dan isteri.

Tidak kurang ada yang meluahkan rasa tidak puas hati kononnya Siti tidak memenuhi janji dibuat sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 13 Disember lalu mahu bertudung litup selepas kembali ke tanah air.

Siti tampil buat pertama kali di hadapan umum dengan imej barunya ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi ke-50 pengacara masakan terkenal, Redzuawan Ismail atau Chef Wan, Isnin lalu.

Sempena Maal Hijrah yang disambut hari ini, secara tidak langsung perubahan dilakukan penyanyi yang muncul dengan album terbaru, Hadiah Daripada Hati itu ialah untuk menjadi insan lebih baik berbanding sebelum ini. Esok pula (11 Januari) Siti akan meraikan ulangtahunnya yang ke-29.

Siti menegaskan, dia bersedia menerima apa saja maklum balas diberikan umum membabitkan penampilannya sekarang sama ada positif dan juga negatif.

“Saya tahu ada pihak berasa kurang senang dengan memberikan pelbagai komen dan pandangan peribadi mereka membabitkan perubahan imej ditampilkan ini.

“Begitupun, saya senang tampil secara sederhana. Saya tidak mahu melakukan perubahan drastik. Biarlah perubahan dibuat dilakukan secara perlahan-lahan,” katanya.

Siti yang tetap ceria dan sedia berkongsi pengalaman menunaikan ibadat haji buat kali pertama berkata, dia bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar.

“Saya amat bersyukur kerana ibadat dapat dilakukan dengan sempurna dan teratur. Tiada perkara tidak diingini berlaku. Inilah pengalaman paling manis dalam hidup yang pernah saya lalui.

“Bayangkan melihat jutaan manusia bersama-sama berada di Tanah Suci membuatkan saya berasa insaf dan kerdil. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar,” katanya.

Sepanjang bercerita, jelas kelihatan mata Siti berkaca dan senyuman gembiranya sentiasa tergambar di bibir. Katanya, impiannya untuk menunaikan ibadat haji dengan membawa ibunya, Siti Salmah Bachik akhirnya terlaksana.

“Selain itu saya juga gambira apabila suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa dan abang, Saiful Bahri turut bersama. Di sana saya menetap di Hotel Intercon.

“Banyak juga pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Contohnya saya terkejut apabila bangun awal pagi untuk melakukan ibadat di Masjidil Haram, saya tengok ramai orang tidur di kaki lima hotel.

“Melihat akan peristiwa itu membuatkan saya insaf. Apabila kita berada di Tanah Suci, semua manusia tarafnya sama di sisi Allah. Tiada beza darjat dan keturunan,” katanya.

Apapun kata Siti, dia tidak berkesempatan bertemu dengan mana-mana artis tempatan yang sama-sama mengerjakan haji kali ini. Begitu juga dengan rombongan yang bertolak bersama-sama dengannya tiada pegawai kerajaan yang dia nampak kecuali kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan.

“Saya terus ke Makkah dan hanya tinggal di Madinah selama dua malam. Begitupun ada satu peristiwa menarik berlaku. Saya terserempak dengan penyanyi dangdut popular Indonesia, Inul Daratista. Waktu itu saya mahu pulang ke hotel sementara Inul pula baru keluar dari hotel yang sama.

“Saya tidak menyedarinya pada awal tetapi melihat wajahnya dari dekat baru saya perasan itu Inul. Kami terus saling bertegur sapa kerana gembira dapat bertemu. Inul pula sempat merakamkan gambar kami bersama,” katanya.

Selain berubah dari sudut penampilan, Siti juga kelihatan sedikit susut. Kata Siti, dia tidak menghadapi masalah kesihatan di sana.

“Cuma apabila berada di Tanah Suci, tidak banyak perkara yang difikirkan kecuali untuk beribadat sepenuhnya. Makan pun hanya sekadar untuk mengisi perut,” katanya.

Penyanyi berasal dari Temerloh, Pahang itu juga tidak banyak membeli barang kecuali tiga helai jubah untuk kegunaan peribadi.

Siti juga menegaskan, penampilannya itu akan dikekalkan termasuklah apabila mengadakan persembahan untuk Anugerah Juara Lagu Ke-22 yang bakal berlangsung pada 27 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Selepas itu penyanyi yang kini popular dengan lagu Ku Mahu, akan memberikan tumpuan penuh pada kerja promosi album Hadiah Daripada Hati.

Selepas 12 tahun dalam bidang seni pencapaiannya cukup hebat. Sehingga kini Siti menerima lebih 140 anugerah. Antaranya Anugerah Industri Muzik (22 anugerah), Juara Lagu (17), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (13), Anugerah Era (11) dan Anugerah Planet Muzik (11).

Siti juga mendapat pengiktirafan di luar negara seperti Anugerah Muzik Indonesia, Festival Muzik Shanghai, MTV Asia dan juga Voice of Asia 2002 merangkul Juara Grand Prix.

Profile

Nama Penuh: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin

Tarikh Lahir: 11 Januari 1979

Bintang: Capricorn

Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik

Tempat Lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

Status: Berkahwin

Suami: Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa

Hobi: Menonton VCD dan membaca majalah

Warna Kegemaran: Hijau dan pastel

Makanan Kegemaran: Masakan kampung, Thai dan masakan ibu

Minuman Kegemaran: Minuman panas

Muzik Kegemaran: Pop, Alternatif, R&B, Tradisional

Artis Pujaan: Ziana Zain, Celine Dion, Allahyarham Sudirman & P Ramlee

Anugerah: Johan Setia Mahkota (JSM), Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Setia Ahmad Shah (SAP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP yang membawa gelaran Datuk)

sumber: harian metro online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: