Hadiah Daripada Hati



Strategi Datuk K


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

ImageShack
Album Inggeris bawa Datin Seri Siti Nurhaliza ke peringkat global

SAAT imej baru Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang berselendang mengundang pelbagai reaksi peminat hiburan tanah air, suaminya Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa memilih untuk mengembangkan lagi kerjaya seni isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dengan menerbitkan sebuah album Inggeris.

Ketika ditemui selepas majlis meraikan ulang tahun ke-29 Siti di Hotel Le Meridien, Khamis lalu yang dihadiri beberapa orang kenamaan, selebriti dan rakan media yang dekat dengan pasangan ini, Khalid bagaimanapun berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan.

Usahawan popular yang lebih dikenali dengan gelaran Datuk K itu berkata, beliau akan cuba untuk mendapatkan komposer terbaik untuk menghasilkan lagu yang terbaik buat isterinya.

Beliau juga berharap album itu akan membawa isterinya ke peringkat yang lebih tinggi dan boleh diterima di negara luar. Selain mendapatkan komposer terbaik, album itu juga nanti akan disuntik dengan elemen Arab dan Sepanyol supaya lebih ramai orang dapat menerimanya.

Bukan itu saja, kata Khalid, ia juga secara tidak langsung dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris isterinya.

ImageShack
PANJANG UMUR: Siti memotong kek hari lahir sambil diperhatikan ibu bapanya, ibu mentua anak Khalid.

Ditanya pada Siti pula, apakah perasaannya apabila suami tercinta mempunyai perancangan setinggi itu, katanya dia cukup gembira kerana dapat mengembangkan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

“Siti lagilah seronok, lagi pun sebelum ini Siti banyak menyanyikan lagu Inggeris pada majlis makan malam. Ramai yang bertanya bila Siti ingin lahirkan album Inggeris. Jadi, Siti rasa kini sudah tiba masanya dan Siti akan belajar dan mencari orang yang boleh bimbing Siti untuk merealisasikan impian suami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai reaksi negatif mengenai imej barunya itu, Siti sebagai anak seni yang berpengalaman berkata, terpulanglah kepada pendapat masing-masing.

Baginya, dia kini lebih selesa dengan imej berselendang dan dia tidak mahu terlalu drastik mengubah imejnya. Barangkali, Siti mengambil iktibar yang berlaku kepada beberapa artis yang drastik mengubah imej tetapi mereka kembali kepada imej lama dan seterusnya dicemuh masyarakat.

“Siti ingin tegaskan di sini yang Siti memerlukan masa perlahan-lahan untuk membuat perubahan. Memang Siti pernah berangan-angan untuk pakai tudung dan duduk berehat saja di rumah. Tetapi apabila sudah melaluinya, ternyata bukan mudah. Biarlah Siti bermula dengan perlahan-lahan dulu. Tahun depan Siti cuba perbaiki lagi .

“Orang boleh berkata apa saja, itu sudah lumrah. Orang akan menjadi hakim, kita buat sikit pun orang kata, buat banyak pun akan dikata. Jadi lebih baik Siti berdiam diri,” katanya yang belum lagi terfikir untuk meninggalkan dunia seni kerana minatnya pada dunia nyanyian masih lagi menebal.

Sementara itu, Datuk K apabila diminta mengulas mengenai imej baru isterinya berkata, dia tidak kisah mengenai penampilan isterinya. Terpulang kepada Siti untuk menentukan penampilannya kerana baginya bertudung atau tidak, isterinya tetap kelihatan manis.

“Saya ada mendapat maklum balas rakan rapat. Ada yang suka dan ada juga yang kurang setuju dengan gaya baru Siti. Bagi mereka, Siti masih muda. Saya tidak suruh dan juga tidak melarang, saya setuju apabila Siti kata dia mahu berubah perlahan-lahan.

“Bagi saya yang penting niat dia, hati mesti baik dan iman mesti kuat. Iman bukan terletak pada penampilan. Saya suka lihat Siti berselendang saja, kerana ia lebih manis dan dia nampak selesa mengenakan selendang daripada tudung,” kata Khalid.

Jika ada yang berkata, penampilan bertudung akan menyukarkan Siti menerima undangan nyanyian, telahan itu ternyata silap kerana sejak pulang dari menunaikan haji, dia ada menerima tawaran tetapi terpaksa ditolak kerana ingin berehat. Selain itu, Siti juga mahu menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi Anugerah Juara Lagu ke-22 nanti.

Detik cecah usia 29 tahun paling bermakna

KALI ini sambutan ulang tahun Siti diadakan sehari lebih awal mengambil keberkatan Awal Muharam iaitu pada Khamis lalu. Jika tahun lalu, Khalid memilih restoran terkemuka di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, kali ini hotel terkemuka pula menjadi pilihannya bagi meraikan ulang tahun ke-29 isteri tersayang.

Ramai orang kenamaan dan selebriti yang diundang seperti Datin Norjuma Habib Mohamad dan suami, Syafinaz, Diddy, Fazli Zainal, Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira, keluarga Fatimah Abu Bakar, Faradhiya dan Hattan serta rakan media yang rapat dengan pasangan ini.

Bagi penyanyi manis itu, rancangan suami mengadakan majlis hari lahirnya itulah hadiah yang bermakna. Jadi, tidak perlu dia mendedahkan apakah hadiah istimewa lain diberikan suami. Lebih penting lagi kata penyanyi yang tampil dengan imej sopan berselendang sejak pulang daripada mengerjakan haji, kasih sayang serta perhatian yang diberikan suaminya sepanjang hampir dua tahun bergelar suami isteri juga satu hadiah yang tak ternilai.

Manja di sisi suami, Siti dilihat tidak pernah lekang menggenggam erat tangan suaminya apabila bersama. Mereka bagaikan pasangan pengantin baru yang sedang asyik menikmati saat bulan madu. Hatta ketika sidang media sekali pun jarang sekali genggaman tangan mereka terlepas. Ia sudah cukup membuktikan betapa Siti kini cukup bahagia menikmati alam rumah tangga.

“Hadiah biarlah antara kami berdua saja yang tahu. Kebendaan bukan perkara utama, kasih sayang suami, perhatian dan keikhlasan suami menjaga Siti dengan baik dari hujung rambut hingga hujung kaki sudah memadai,” katanya sambil merenung tajam suami di sisi.

Lazimnya apabila tiba tahun baru, pasti ada saja azam yang dipasang setiap individu. Begitu juga apabila usia menginjak setahun lagi, tentu ada impian yang terpahat di sanubari setiap umat manusia. Soalan mengenai impian dengan pertambahan usianya tidak lupa diajukan.

Ujar penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu dia mengharapkan kehidupannya yang akan dilalui pada hari mendatang menjadi lebih baik dari pelbagai aspek. Dilimpahi kebahagiaan, kegembiraan bukan saja buat dirinya tetapi juga keluarga dan kerjaya.

Ditanya mengenai impian lain selain yang disebutnya, Siti bagaikan sudah mengerti bukan jawapan itu yang dimahukan media.

“Siti sudah agak soalan itu mesti ada. Impian Siti tentulah untuk menambahkan lagi bilangan ahli keluarga dan Siti berharap tahun ini impian itu dimakbulkan,” katanya.

sumber: berita harian online


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: