Hadiah Daripada Hati



Remy… Kisah P. Ramlee — Siti langgar prinsip?

Remy… Kisah P. Ramlee — Siti langgar prinsip?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

APABILA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, terpilih membintangi teater muzikal kedua terbitan Enfiniti Productions Sdn. Bhd., Remy… Kisah P.Ramlee (RKPR), ramai yang terkejut dengan keputusan Siti untuk beraksi dalam teater yang mengangkat kisah kerjaya seni dan cinta P. Ramlee itu.

Masakan tidak, hampir 12 tahun menjadi anak seni, hatinya masih terkunci rapat untuk menjadi seorang pelakon. Sedangkan seniwati handalan Indonesia, Christine Hakim yang mahukannya membintangi filem arahannya, Tiga Dara bersama Krisdayanti dan Dian Sastrowardoyo juga tidak mampu membuka hati Siti.

Siti sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dia akan berlakon jika skripnya sesuai dan tidak melanggar prinsip yang dipegang selama ini. Apabila memikirkan kembali, bagaimanakah Siti yang terpilih membawakan watak Azizah, wanita yang amat dipuja P. Ramlee akan beraksi dalam teater muzikal yang seperti sedia maklum akan ada adegan berpegangan tangan, menari dan menyanyi bersama?

Pengarah RKPR, Adlin Aman Ramlie dan Zahim Albakri menjelaskan apa yang bakal penonton saksikan nanti pada pementasan yang bakal berlangsung di Istana Budaya bermula 19 Oktober depan selama tiga minggu akan menyaksikan satu dimensi baru bagi insan yang bernama Siti Nurhaliza.

“Kami sebagai pengarah faham dengan kehendak dan prinsip Siti. Dalam pada itu juga, sebagai pengarah, kami berhak menentukan apa yang terbaik untuk pelakon kami. Dalam kes Siti ini, kami sudah berbincang dan kami akan membuatkan sesuatu agar Siti selesa dengan wataknya.

“Yang utamanya, skrip yang sudah kami sediakan tidak sesekali akan melanggar prinsip Siti. Malah, watak Azizah sesuai dengan Siti dan memenuhi gambaran yang kami bayangkan selama ini. Kami percaya dan yakin Siti mampu melakukannya. Apatah lagi, ini merupakan kali pertama dia berlakon dan sudah pasti, ramai yang mahu menyaksikan aksinya nanti,” jelas Adlin pada majlis memperkenalkan barisan pelakon RKPR di Borneo Rainforest Cafe, Bandar Sunway, minggu lalu.

Jelas Adlin lagi, kesemua pelakon kini sudah menjalani latihan dan akan berterusan hingga akhir bulan September kelak.

Uji bakat

Dari segi lagu yang bakal dipentaskan pula, hampir 30 buah lagu akan ditampilkan. 15 daripadanya merupakan lagu-lagu baru hasil nukilan Dick Lee dan Adlin sendiri dan selebihnya karya P. Ramlee yang diberi nafas baru sesuai dengan pementasan RKPR.

Bagi Penerbit Eksekutif RKPR, Datin Seri Tiara Jacquelina, pemilihan Siti juga bukannya berdasarkan atas rakan sebaliknya, penyanyi yang popular dengan lagu Pastikan itu turut menghadiri uji bakat yang diadakan.

“Saya tidak mahu ada yang berfikir Siti terpilih sebab dia popular dan juga rakan saya. Tetapi, dia menghadiri uji bakat dan apa yang boleh saya katakan, dia memberikan yang terbaik sewaktu uji bakat tersebut. Semua pelakon yang terpilih juga menjalani uji bakat yang sama. Jadi, tidak timbul soal pilih kasih atau sebagainya. Lagipun, watak Siti dalam teater ini boleh dianggap sebagai kemunculan istimewa,” ujar Tiara.

Bagi pemenang Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-14 (AIM 14), Sean Ghazi yang diberi mandat membawakan watak P. Ramlee, dia akan membawakan watak seniman negara itu sebaik mungkin.

“Kita harus faham tiada siapa mampu menjadi P. Ramlee dan hanya seorang sahaja P. Ramlee. Namun, saya akan menggunakan pengalaman saya beraksi di pentas West End untuk menghidupkan watak P. Ramlee.

“Malah, saya akan memberikan komitmen yang paling tinggi untuk menjayakan teater ini. Saya juga telah mengupah seorang guru bahasa untuk mengajar saya tiga dialek yang berbeza iaitu dialek Pulau Pinang, Singapura dan Kuala Lumpur seiring dengan perjalanan seni P. Ramlee,” kata Sean.

Liza Hanim yang terpilih menjadi Biduanita Negara, Saloma pula, tidak sesekali menyangka akan terpilih sebagai salah seorang pelakon dalam teater muzikal hebat itu.

“Sebelum ini, saya hanya berlakon dalam filem sahaja tetapi ini merupakan kali pertama saya beraksi dalam teater. Perasaan gemuruh tetap ada, namun saya akan memberikan perhatian dan fokus yang lebih demi memastikan watak Saloma itu hidup,” kata penyanyi yang baru sahaja melahirkan album baru, Imagin.

RKPR juga menampilkan pelakon berbakat besar, Melissa Saila sebagai isteri pertama P. Ramlee, Junaidah dan Chedd Yusuf sebagai rakan baik P. Ramlee, Sukardi.

Malah, kumpulan yang mencipta nama menerusi pertandingan Gang Starz, Infinatez turut diberi peluang membawakan watak paparazzi dan juara So You Think You Can Dance, Alam turut diberi peluang.

sumber: utusan malaysia online.com


Leave a comment